Siti Kharina masih belum pulang setelah lima hari hilang

Khairani (kanan) mengharapkan kakaknya ditemui segera.
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Ketua jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin, 40, yang dilaporkan hilang pada 8 Mei lalu sepatutnya menyambut Ramadan pertama tahun ini bersama suami dan tiga anak-anaknya berusia 14 dan 10 tahun di Kuala Pilah dua hari dari tarikh dia dilaporkan hilang.

Adik Kharina, Siti Khairani Mohd Kamarudin, 36, berkata, kakaknya tinggal berjauhan (pasangan jarak jauh) sejak kira-kira enam tahun lalu berkhidmat di Hospital Serdang dan hanya pulang ke Kuala Pilah setiap kali cuti.

Menurutnya, sehari sebelum kakaknya didapati hilang, dia ada menghubungi suami dan memberitahu akan pulang selepas bekerja syif malam selama dua hari.

"Dia telefon suami dan cakap dengan anak-anak macam biasa. Tak ada masalah yang berlaku. Dia hilang pada 8 Mei, hari Rabu selepas habis waktu kerja. Dia sepatutnya kerja syif malam pada Khamis dan Jumaat sebelum balik ke Kuala Pilah. Tapi dia hilang dan tak masuk kerja.

"Rakan serumah yang tinggal di kuarters hospital berselisih masa nak keluar berbuka puasa dan kakak baru pulang kerja petang itu. Tetapi dimaklumkan tak ada apa-apa yang pelik berlaku. Mereka bertegur sapa kerana rakannya itu mahu pergi kerja.

Siti Kharina (bertudung hijau) bersama keluarga.
Siti Kharina (bertudung hijau) bersama keluarga.

"Mungkin kakak balik ambil barang, kemudian dia keluar balik dengan pakaian kerja. Ketika itulah dia dilihat kali terakhir di kawasan tempat letak kereta hospital," katanya kepada Sinar Harian.

Siti Khairani berkata, sehingga kini tiada sebarang perkembangan diterima tentang kehilangan kakaknya itu dan maklumat tular yang menyatakan kakaknya telah ditemui adalah tidak benar.

Katanya, dia berharap orang ramai menghentikan sebaran berkenaan kerana ia akan membantutkan usaha pencarian.

"Ada juga yang telefon dan tawarkan khidmat untuk berubat cara perubatan Islam. Jadi mana-mana lokasi boleh pergi kami akan pergi. Kami cuba juga ikhtiar cara lain.

"Saya sekeluarga harap kakak dapat ditemukan dengan selamat," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali mengesahkan sudah menerima laporan berhubung kes itu dan pihaknya telah membuka kertas siasatan di bawah kes orang hilang.

Terdahulu pengurusan Hospital Serdang mengesahkan kehilangan Siti Kharina yang dilihat kali terakhir memandu kereta Honda City berwarna putih di kawasan tempat letak kenderaan hospital itu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan untuk membantu mengesan Siti Kharina digesa agar menghubungi polis atau adik Siti Kharina, Siti Khairani Mohd Kamaruddin di talian 012-2587764.

ARTIKEL BERKAITAN: Hospital Serdang sahkan Siti Kharina tidak hadir bertugas

Polis temui petunjuk baharu kes kehilangan ketua jururawat

Ketua jururawat hilang: Kakak patut balik kampung tapi...

Siti Kharina masih belum pulang setelah lima hari hilang


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia