Polis sahkan terima dua laporan mengenai sekatan Orang Asli

Razaruddin melihat makanan yang dijual di salah satu gerai di Bazar Ramadan Medan Gopeng sempena program HPP Polis Perak.
Razaruddin melihat makanan yang dijual di salah satu gerai di Bazar Ramadan Medan Gopeng sempena program HPP Polis Perak.
A
A
A

IPOH - Polis Perak mengesahkan menerima dua laporan mengenai sekatan yang dibuat Orang Asli di Kampung Tasik Cunex, Gerik.

Ketua Polis Perak, Datuk Razaruddin Hussain berkata, laporan tersebut dibuat bagi membuka halangan yang dibuat oleh Orang Asli di kawasan itu.

Katanya, sehingga kini tiada sebarang tangkapan dibuat dan pemantauan terus dilakukan di kawasan tersebut.

"Kelmarin, seramai 50 anggota polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) berada di kawasan tersebut memastikan keadaan terkawal ketika halangan dibuka oleh agensi berkaitan terutama daripada Jabatan Perhutanan.

"Tak ada sebarang tangkapan kerana semasa halangan itu dibuka, tiada rusuhan atau gangguan dibuat. Orang Asli yang ada di sana hanya melihat sahaja ketika halangan itu dibuka," katanya kepada pemberita selepas hadir ke program High Profile Policing (HPP) di Bazar Ramadan Medan Gopeng di sini hari ini.

Razaruddin berkata, pihaknya akan terus memantau keadaan di kawasan itu bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Semalam, penduduk Kampung Tasik Cunex, Gerik kecewa apabila sekatan yang dibina mereka untuk menyekat proses membawa keluar kayu balak yang ditebang di kawasan itu dibuka.

Bagaimanapun Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menjelaskan kebenaran merobohkan sekatan atau blockade yang dibina tanpa kebenaran di atas tanah milik kerajaan negeri itu dibuat selepas pihaknya meneliti semua aduan dan sudut perundangan.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, beliau menjelaskan kadar jenayah sepanjang bulan Ramadan terkawal malah kes jenayah seperti ragut turut menurut.

Mengenai HPP pula, Razaruddin berkata, sejak 6 Mei lalu, sebanyak 78 bazar Ramadan seluruh Perak dilawati bagi program tersebut.

Katanya, program itu juga turut melibatkan 135 pegawai dan 543 anggota negeri ini.

"Melalui program ini kita dapat mendekati masyarakat dan mendapatkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah.

"Sepanjang program ini dijalankan, tiada aduan atau maklumat berkaitan kegiatan jenayah di bazar Ramadan diterima pihak polis," katanya.