Terima deposit haram, 'Datuk' mengaku tidak bersalah

Pandeyan(kiri) dan Ameer Noraizeedin(baju putih kanan) sedang menunggu di luar pekarangan kamar Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Taiping untuk dibicarakan di dalamnya hari ini
Pandeyan(kiri) dan Ameer Noraizeedin(baju putih kanan) sedang menunggu di luar pekarangan kamar Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Taiping untuk dibicarakan di dalamnya hari ini
A
A
A

TAIPING - Dua ahli perniagaan bergelar 'Datuk' mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan menerima wang deposit tanpa lesen sah berjumlah RM51,673 di Mahkamah Sesyen, di sini sejak tiga tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh, Datuk M Pandeyan,57, dan Datuk Ameer Noraizeedin Abdul Wahid,49, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di dalam kamar Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Suhaima Mohd Noor yang bertindak bagi pihak hakim Mahkamah Seksyen.

Mengikut pertuduhan, pada tarikh 21 Julai 2015 hingga 18 Ogos 2015 bertempat di Public Bank cawangan Taiping, kedua-dua tertuduh didakwa menerima deposit daripada mangsa, T R Subramaniam berjumlah RM47,273 tanpa lesen sah.

Pandeyan turut mengaku tidak bersalah di atas satu lagi pertuduhan menerima deposit tanpa lesen sah daripada A Shanmugam berjumlah RM4,400 di lokasi sama pada 14 April 2016 pada jam lebih kurang 3.17 petang.

Ketiga-tiga dakwaan dikemukakan di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013(Akta 758) (1) akta sama atau boleh dihukum di bawah Seksyen 137(2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kesalahan di bawah Seksyen 137(2) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah membenarkan Pandeyan diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin bagi dua kes pertuduhan.

Manakala Ameer Noraizeedin dibenarkan ikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah menetapkan 12 Februari 2019 bagi sebutan semula kedua-dua kes pertuduhan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sariza Ismail dan tertuduh, Ameer Noraizeedin diwakili Md Yunos Shariff manakala Pandeyan tidak diwakili peguam.