Lebuhraya PIL 1: Kementerian Pendidikan, Pulau Pinang akan bincang

Maszlee bergurau dengan murid SJKT Sungai Ara dalam lawatannya di SJKT Sungai Ara tadi.
Maszlee bergurau dengan murid SJKT Sungai Ara dalam lawatannya di SJKT Sungai Ara tadi.
A
A
A

BAYAN BARU - Kementerian Pendidikan akan berbincang dengan Kerajaan Pulau Pinang dan Jabatan Pendidikan Pulau Pinang berhubung cadangan pembinaan Lebuhraya Pan Island Link 1 (PIL 1) yang dipercayai akan melibatkan beberapa buah sekolah di negeri ini.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, satu perjumpaan akan diadakan bagi membincangkan perkara tersebut dengan lebih lanjut.

"Kita akan berbincang dengan kerajaan negeri dan Jabatan Pendidikan negeri tentang pelan tersebut," katanya pada sidang media selepas melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Sungai Ara tadi.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan tarikh dan tempat perbincangan tiga hala itu akan diadakan.

Difahamkan, SJKT Sungai Ara antara salah sebuah sekolah yang terkesan dengan pembinaan lebuhraya bernilai RM7 bilion itu.

Pembinaan lebuhraya PIL 1 merupakan sebahagian daripada projek di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang akan dilaksanakan di bawah fasa satu.

Lebuh raya dua hala sepanjang 20KM itu dirancang dibina dengan enam lorong dan menghubungkan Persiaran Gurney ke Bayan Lepas dengan enam persimpangan.

Terbaharu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah meluluskan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) untuk pembinaan lebuh raya tersebut yang mana, laporan EIA berkenaan telah melalui penilaian dan pertimbangan oleh Jawatankuasa Teknikal Penilaian Laporan EIA.

Artikel Berkaitan:

Menerusi penilaian itu, laporan itu didapati memenuhi syarat mengikut Seksyen 34A (2) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Dalam perkembangan lain, Kementerian Pendidikan akan menyalurkan peruntukan RM20,000 kepada SJKT Sungai Ara bagi tujuan penyelenggaraan sekolah tersebut.

Maszlee berkata, selain itu, sumbangan buku bernilai RM4,000 juga akan disalurkan kepada pusat sumber sekolah berkenaan.

Jelasnya lagi, sumbangan buku ini adalah daripada Dewan Bahasa dan Pustaka serta Institut Terjemahan Negara.

"Kementerian melihat SJKT Sungai Ara ini berkeupayaan menjadi sekolah contoh melalui penekanan aspek nilai kegembiraan, kasih sayang dan hormat menghormati dalam sistem pendidikan.

"Menjadikan 'United Nations Sustainable Development Goals' sebagai fokus, sekolah ini turut menggerakkan pelbagai aktiviti pemeliharaan alam sekitar bagi mewujudkan suasana sekolah yang lebih selesa dan menyeronokkan.

"Saya amat tertarik dengan pendekatan sekolah ini iaitu 'fun learning' bagi menarik minat murid. Saya harap sekolah ini boleh menjadi sekolah contoh kepada sekolah lain" katanya.

Beliau berkata lagi, lebih menarik, sekolah ini bersebelahan dengan Sekolah Agama Sungai Ara dan kerap mengadakan program bersama.