Kumpul 'duit raya' eskpres

Baharudin (dua,kanan) menunjukkan dadah syabu dan ganja bernilai RM50,000 yang dirampas dalam dua serbuan di sebuah hotel bajet di Pusat Komersial Seksyen 7, di sini, semalam.
Baharudin (dua,kanan) menunjukkan dadah syabu dan ganja bernilai RM50,000 yang dirampas dalam dua serbuan di sebuah hotel bajet di Pusat Komersial Seksyen 7, di sini, semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - Taktik sepasang kekasih menjual dadah syabu ​serta ganja bernilai RM50,000 ​bagi mengumpul 'duit raya ekspres' akhirnya terbongkar selepas mereka ditahan dalam serbuan di sebuah hotel bajet di Jalan Plumbum​ Q7/Q​, Pusat Komersial Seksyen 7, awal pagi semalam.

Pasangan ​licik​ itu turut menjadikan hotel bajet sekitar Shah Alam sebagai 'port' ​bagi mengaburi kegiatan haram yang dilakukan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pasangan ​kekasih ​berusia 20 dan 25 tahun itu​ ditahan pada jam 1.10 pagi.

"Pemeriksaan menemui dadah syabu seberat 182 gram yang diletakkan dalam tiga paket kecil berisi 155 gram dan satu paket lagi berisi 27 gram.

"Siasatan lanjut menemui satu bekas plastik lut sinar bertudung biru yang mengandungi daun-daun kering disyaki dadah ganja seberat 5.97 gram," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, di sini, hari ini.

Menurutnya, turut dirampas sebuah kereta BMW 5 Series milik suspek bernilai RM30,000 dan siasatan lanjut mendapati mereka aktif melakukan kegiatan itu sejak sebulan lalu.

"Modus operandi suspek adalah dengan menyewa hotel bajet sekitar kawasan terbabit yang boleh didapati pada harga murah untuk tempoh sebulan atau seminggu bagi dijadikan port membungkus serta mengedar syabu.

"Kebanyakan pelanggan terdiri daripada kenalan suspek serta orang baru yang diperkenalkan kepada mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Baharudin (kiri) melihat kereta BMW 5 series milik pasangan kekasih yang dirampas dalam serbuan semalam.
Baharudin (kiri) melihat kereta BMW 5 series milik pasangan kekasih yang dirampas dalam serbuan semalam.

​Beliau berkata, hasil soal siasat juga menunjukkan pasangan itu menjual dadah tersebut dalam bentuk paket kecil berisi satu gram dan dijual pada harga antara RM80 ke RM100.

​Katanya, kedua-dua suspek itu direman seminggu sehingga 21 Mei bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya​ (ADB)​ 1952.

Baharudin memberitahu, pihaknya menyerbu hotel sama kira-kira 20 minit kemudian dan menahan lima lelaki dipercayai pelanggan kepada pasangan suspek terbabit di bilik berlainan.

"Selain tangkapan kita turut merampas dadah syabu seberat 5.93 gram dan kelima-lima lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 39A(1) ADB 1952.

"Siasatan menunjukkan kelima-lima pelanggan ini membeli dadah terbabit dan kemudian menghisap di bilik hotel terbabit," katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek ditahan didapati positif syabu dan semakan menunjukkan mereka tidak memiliki sebarang rekod lampau.

​"Polis akan terus mempergiatkan operasi dan pemantauan di semua hotel bajet sekitar Shah Alam​ ekoran ia kini menjadi tumpuan atau sarang pengedaran dadah syabu," katanya.

Sementara itu, Baharudin berkata bagi tempoh Januari tahun ini sehingga 13 Mei lalu, seramai 472 individu ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan berkaitan dadah.

"Paling ramai ditahan adalah sebanyak 182 tangkapan di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952, diikuti 137 tangkapan penagih dadah dan 51 tangkapan mengikut Seksyen 39A(1) ​​ADB​ 1952​.

"Bagi tempoh Januari sehingga 14 Mei lalu pula, kita juga merampas dadah jenis heroin base seberat 13,907.3 gram, heroin no 3 (10,828.56 gram), syabu (1,303.86 gram), ganja (1,781.86 gram) dan daun ketum (2,800 gram)," katanya.