Pastikan peluang pelajari ilmu Islam tersedia sebaiknya - Anwar

Anwar
Anwar
A
A
A

BANGI - [DIKEMAS KINI] Agensi agama dan pertubuhan dakwah digesa mengemukakan pandangan untuk memastikan peluang memperoleh ilmu Islam tersedia dengan sebaiknya di setiap ruang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bagi membolehkan golongan mualaf mengambil kesempatan agar berlumba-lumba menimba ilmu Islam sebenar dengan penuh keterujaan.

Menurutnya, pintu kepada terbukanya keindahan Islam boleh diperoleh melalui pelbagai cara.

"Islam merupakan agama indah yang mampu memberi kebahagiaan hakiki kepada setiap insan tanpa mengira kaum. Sama ada Melayu, Cina, India, Orang Asli atau lain- lain, kedudukan kaya, miskin, berjawatan.

"Atau di mana mereka berada melalui panduan lengkap sebagai mana tertera di dalam al-Quran dan hadis," katanya merasmikan Konvensyen Mualaf Madani Peringkat Kebangsaan 2023 di sini pada Selasa.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk, Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Konvensyen Mualaf Madani Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 di sini pada Selasa.

Beliau berkata, penyebaran pemahaman Islam yang tepat dapat meningkatkan keyakinan Muslim terhadap agama serta mampu memberi kejernihan fikiran kepada bukan Islam agar tidak wujud salah tanggapan.

Katanya, usaha itu dapat dilihat melalui peranan petugas-petugas barisan hadapan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), jabatan agama Islam negeri, penggerak masyarakat Orang Asli, mubaligh, guru agama dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

"Mereka ditempatkan di seluruh negara sentiasa berusaha melaksanakan tugas memberi penerangan berkaitan Islam dengan amat baik demi memastikan pemahaman Islam sebenar mampu sampai kepada setiap warga yang berada di bumi Malaysia," katanya.

Anwar berkata, kerajaan komited untuk memastikan mualaf mampu menjadi mukalaf terbaik melalui penganjuran aktiviti bermanfaat serta dapat memberi impak terbaik.

"Kerajaan juga sentiasa cakna terhadap perkembangan serta kemajuan mualaf dari semasa ke semasa dan mengiktiraf pencapaian yang diperoleh," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid menyarankan Jakim dan Jain meningkatkan elaun dan pendakwah kontrak di negara ini selaras dengan gaji minima.

Ia berikutan golongan itu terpaksa berdepan dengan kesukaran termasuk perlu ke pedalaman bagi menyampaikan ilmu agama.

"Jakim dan Jain telah mengambil inisiatif untuk meletakkan perjawatan mereka secara kontrak tetapi relatif gaji masih rendah.

"Elaun itu untuk mereka menyantuni permasalahan terutamanya di kalangan saudara baharu," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Pendakwah Orang Asli Malaysia, Wan Masindra Juja membawa pulang RM10,000 selepas dinobatkan sebagai Tokoh Mualaf Kebangsaan.

Wan Masindra, 42, sangat aktif dengan kerja-kerja dakwah di pedalaman Perak selain turut bersama rakan-rakan Orang Asli yang lain membangunkan Sekolah Agama Rakyat untuk anak-anak Orang Asli yang kedua di Kampung Orang Asli Sungai Tonggang, Perak.

Sekolah tersebut dikenali sebagai Sekolah Agama Rakyat Nurul Hikmah.