UKM tidak mahu persia kelebihan beraksi di Bangi

Dari kiri; kapten UKM, Nazrin Aiman Azmi, pengendali UKM, Mohd Raffiq, Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Dr Pekan Ramli, pengendali UniKL
Mohd Zaharull Hamdan dan kapten UniKL, Muhammad Darwisy Abdullah semasa sidang media perlawanan akhir Piala Menteri Pendidikan Tinggi 2023.
Dari kiri; kapten UKM, Nazrin Aiman Azmi, pengendali UKM, Mohd Raffiq, Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Dr Pekan Ramli, pengendali UniKL Mohd Zaharull Hamdan dan kapten UniKL, Muhammad Darwisy Abdullah semasa sidang media perlawanan akhir Piala Menteri Pendidikan Tinggi 2023.
A
A
A

PASUKAN pilihan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tekad tidak mempersiakan peluang menjulang Piala Menteri Pendidikan Tinggi 2023 apabila melayan kunjungan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dalam perlawanan akhir di Stadium UKM, Bangi pada Rabu.

Pengendali UKM, Mohd Raffiq Roslan berkata, perjalanan pasukan itu sama seperti saingan tahun lalu apabila bertemu pencabar sukar bermula di kelompok lapan terbaik.

"Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi atas rezeki yang dikurniakan UKM sekali lagi menempah tempat pada perlawanan akhir.

"Sama dengan skrip tahun lepas, kami melangkah ke perlawanan akhir selepas bertemu dengan dua kuasa bola sepak IPT (UPSI di suku akhir dan UiTM pada separuh akhir).

"Sudah pasti, peluang yang hadir sekali lagi pada tahun ini tidak akan disia-siakan oleh anak buah saya. Namun kami waspada dengan kemaraan pasukan UniKL yang akan turun tanpa tekanan, namun tetap berazam untuk mencipta sejarah mereka sendiri," katanya pada Selasa.

Sebagai rekod, UKM mara ke perlawanan akhir selepas menjinakkan UiTM Shah Alam, 3-2 dalam aksi separuh akhir di Stadium UiTM Shah Alam pada 26 September lalu.

Sementara itu, pada masa sama UniKL pula terpaksa mengheret aksi ke penentuan sepakan penalti untuk menang 4-2 ke atas UiTM Perlis selepas terikat 1-1 dalam perlawanan separuh akhir di Stadium Mini Bandar Baru Salak Tinggi.

Pada masa sama, Mohd Raffiq mengakui beraksi di pentas final terutamanya di depan para penyokong UKM memberi tekanan khasnya kepada pemain-pemain baharu yang beraksi di perlawanan berintensiti tinggi.

Artikel Berkaitan:

Namun Mohd Raffiq percaya pengalaman pemain senior dalam pasukan itu akan membantu menjelmakan keputusan positif.

"Ya, sudah pasti bagi pemain-pemain baru yang mungkin bermain di pentas terbesar karier bola sepak mereka akan merasakan tekanan.

"Namun dengan kehadiran dan bantuan beberapa pemain senior yang lain, Insya-ALLAH pemain-pemain saya akan menggunakan peluang ini untuk beraksi sehabis baik.

"Walaupun di atas kertas kami merupakan pasukan pilihan, namun saya sentiasa berpesan kepada anak buah saya yang kedua-dua pasukan mempunyai peluang sama rata apabila beraksi di pentas final," katanya.

Pada masa sama Mohd Raffiq juga mengingatkan pemain UKM menggunakan perlawanan akhir sebagai pentas mengembangkan potensi diri dalam karier bola sepak pada masa depan selepas melalui pelbagai ranjau untuk sampai ke fasa terakhir kejuaraan itu.

"Sudah pasti mana-mana jurulatih akan bersetuju apabila melatih pasukan melibatkan pelajar-pelajar IPT ini pelbagai halangan yang terpaksa dihadapi.

"Dari segi kesesuaian masa latihan, penglibatan pemain dengan sesi latihan dan kekangan tempat latihan merupakan antara aspek yang boleh membantutkan usaha pasukan.

"Namun, sering saya ingatkan kepada anak buah agar menjadikan kekurangan dihadapi pasukan sebagai satu kekuatan tambahan sewaktu beraksi di padang. Gunakan juga platform pentas bola sepak IPT ini sebagai langkah permulaan untuk mengembangkan karier bola sepak mereka," katanya.