Sindrom penafian memakan diri

Pemandangan berjerebu sekitar Kuala Lumpur yang dirakam waktu petang pada Ahad. - FOTO SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
Pemandangan berjerebu sekitar Kuala Lumpur yang dirakam waktu petang pada Ahad. - FOTO SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
A
A
A

EPISOD jerebu yang melanda negara bagai tiada kesudahan. Setiap tahun kita akan menghadapi situasi sama, malah boleh memasuki tahap menjengkelkan apabila insiden sama berulang-ulang.

Jerebu rentas sempadan didakwa berpunca daripada kebakaran hutan dan tanah di Indonesia tetapi yang turut terkena tempiasnya ialah negara jiran tetangga seperti Malaysia dan Singapura.

Dalam laporan sebelum ini, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr Hazland Abang Hipni berkata, data daripada Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) mengesan 2,203 titik panas di sekitar Kalimantan berbanding hanya empat di Sarawak.

Dr Hazland menambah, titik panas berkenaan dikesan bagi tempoh 20 hingga 28 September lalu.

"Ini adalah data daripada ASMC, bukan dari Malaysia. Jadi bagaimana mereka boleh menafikan situasi seperti ini?" katanya.

Sebelum ini perkara itu dinafikan Menteri Alam Sekitar Indonesia, Siti Nurbaya Bakar yang berkata, tiada jerebu dari negaranya dikesan menuju ke Malaysia.

Ujarnya, kebakaran hutan semakin berkurangan di pulau Sumatera dan Kalimantan.

Sudah terang lagi bersuluh kejadian jerebu ini berpunca daripada kebakaran hutan di negara berkenaan sehingga menyebabkan saban hari Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Malaysia meningkat di beberapa negeri.

Artikel Berkaitan:

Pakar Kesihatan Persekitaran Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman berkata, penafian yang dibuat negara jiran itu ditolak kerana secara jelasnya terdapat pembuktian melalui pergerakan angin membawa asap dari Sumatera ke Semenanjung, manakala Kalimantan ke Sabah dan Sarawak.

Tidak rasa bersalah lagikah? Berkata benarlah walaupun pahit kerana hidup negara serumpun ini perlu saling bantu membantu, kita perlukan semboyan penyelesaian kerana isu jerebu merentasi sempadan ini bukan baru setahun dua berlaku.

Anda bukan membakar sampah dalam kebuk bertutup apabila menafikan asap akibat pembakaran itu mana mungkin sampai ke negara berdekatan.

Malah pada Isnin, Presiden Indonesia, Jokowi sendiri pun mengulas mengenai peningkatan pencemaran udara di negara-negara jiran susulan asap kebakaran di wilayah Sumatera dan Kalimantan, Indonesia itu.

Malah beliau memberi peringatan bahawa asap daripada kebakaran hutan dan tanah di negara itu berpotensi untuk tersebar secara meluas.

Mahu nafi lagi? Kalau masih ingat krisis jerebu tahun 2015 sehingga diisytiharkan darurat yang membabitkan penutupan sekolah, pejabat kerajaan, pelabuhan dan pembatalan penerbangan.

Jerebu rentas sempadan yang berlaku pada tahun 2015 ini telah menyebabkan lebih daripada 100,000 kematian di Indonesia, Malaysia, dan Singapura.

Penulis sokong teguran tegas dibuat bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang meminta kerajaan mengenakan tindakan saman kepada Indonesia berhubung situasi jerebu rentas sempadan itu.

Khairy berkata, tindakan tegas perlu diambil selaras dengan dasar undang-undang antarabangsa di mana melarang segala aktiviti yang memudaratkan negara lain.

“Saya rasa patut kita saman mereka (Indonesia) sebab kalau ikut undang-undang antarabangsa sama ada berteraskan kepada amalan ataupun kepada triti yang ‘explicit’ (jelas),” katanya.

Namun, bila sudah namanya serumpun, dalam marahnya kita dengan situasi yang berlaku di negara jiran itu, Malaysia tetap sedia membantu negara berkenaan menangani masalah tersebut.

Kerajaan Malaysia sudah menghantar surat kepada Indonesia dan bersedia untuk berkerjasama menangani kebakaran hutan dan tanah yang sedang melanda di beberapa wilayah di Indonesia sekiranya diperlukan.

Malah, sebelum itu, Konsulat Malaysia di Pontianak telah menyumbang enam mesin pam air kepada pemerintah Wilayah Kalimantan Barat pada Ogos untuk pencegahan dan pengawalan kebakaran hutan dan tanah.

Penulis harap biar lah isu jerebu ini menemui titik noktahnya. Kita perlukan udara bersih kerana itu hak asasi yang layak kita terima.

Kualiti udara yang buruk, sama ada disebabkan oleh sumber tempatan atau jerebu rentas sempadan, mempunyai implikasi yang buruk kepada kesihatan serta masa depan generasi akan datang.

* Wan Rosida Wan Hamad ialah Editor Pengisian Sinar Online