Keputusan larangan parkir kenderaan depan rumah Rabu ini - MBPG

Pihak MBPG menerima banyak aduan meletakkan kenderaan menghalang laluan atau di tempat tidak sesuai. Gambar hiasan. Sumber internet.
Pihak MBPG menerima banyak aduan meletakkan kenderaan menghalang laluan atau di tempat tidak sesuai. Gambar hiasan. Sumber internet.
A
A
A

PASIR GUDANG - Keputusan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) untuk melaksanakan penguatkuasaan larangan meletak kenderaan di hadapan rumah akan diketahui selepas satu mesyuarat khas pada Rabu ini.

Datuk Bandar Pasir Gudang, Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata, keputusan itu akan dibuat mengikut Undang-Undang Kecil, Jalan, Parit dan Bangunan MBPG.

"Dalam mesyuarat itu satu kertas kerja lengkap bagi tujuan penguatkuasaan peraturan ini akan dibentangkan untuk dikuatkuasakan. Selepas mendapat persetujuan Ahli Majlis, penguatkuasaan ini akan dilaksana secara berfasa.

"Untuk permulaan ini kita akan buat sesi kesedaran mengenai penguatkuasaan undang-undang kecil ini kepada masyarakat, malah kita menjangkakan sehingga akhir tahun proses kesedaran dan pendidikan kepada masyarakat ini akan diberikan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Ahli-ahli MBPG di Menara Aqabah di sini pada Ahad.

Beliau berkata, pihak MBPG menerima banyak aduan meletakkan kenderaan menghalang laluan atau di tempat tidak sesuai pada tahun lalu yang melibatkan 242 aduan.

Pada tahun ini katanya, sehingga bulan lalu sebanyak 349 aduan diterima dengan 95 peratus pengadu adalah penduduk setempat.

"Sebenarnya semangat kejiranan semakin terhakis dan kita ada terima laporan pergaduhan dengan jiran.

Artikel Berkaitan:

"Kita tidak terus kompaun jika terdapat kesalahan, selalunya notis akan diberikan terlebih dahulu kepada pemilik kenderaan yang menghalang laluan. Notis itu diberi tempoh sehingga 21 hari untuk pemilik kereta mengambil tindakan penambahbaikkan," katanya.

Menurutnya, selepas itu jika tiada tindakan pemulihan MBPG akan kompaun.

"Kita tidak akan kompaun terus, kita akan beri notis dulu. Kompaun RM100 hingga maksimum RM2,000 bagi kesalahan berulang," katanya.

Asman Shah memberitahu, pihaknya sedia maklum mengenai taman perumahan lama yang mana ruang jalan dan kediaman sempit dan dekat.

Asman berkata, pihak MBPG tidak akan mengeluarkan kompaun sekiranya kenderaan yang diletakkan di hadapan rumah tidak menghalang laluan.

"Baru-baru ini timbul isu meletakkan kenderaan terlalu rapat sehingga menyukarkan lori mengangkut sampah tidak boleh lalu. Isu tentang aduan kutipan sampah berlaku sebab kelewatan dan kesukaran mengutip sampah di kediaman kerana laluan terhalang.

"Kita kena ambil tindakan terhadap aduan. Kita terima sistem pengaduan awam ( SISPAA) yang dikendalikan kementerian, ianya perlu diselesaikan dalam tempoh 72 jam atau tiga hari," katanya.