Warga Bangladesh dalang palsu dokumen, kaut untung berpuluh ribu

Imigresen Johor menahan warga asing dalam Ops Serkap yang dilakukan di Gelang Patah, Iskandar Puteri pada 5 Oktober lalu.
Imigresen Johor menahan warga asing dalam Ops Serkap yang dilakukan di Gelang Patah, Iskandar Puteri pada 5 Oktober lalu.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Johor menumpaskan satu sindiket pemalsuan Pas Lawatan Kerja sementara (PLKS) dan khidmat pendaftaran Program Rekalibasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 kepada warga asing selepas menyerbu sebuah premis di Gelang Patah di sini pada 5 Oktober lalu.

Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir berkata, serbuan sepasukan Pegawai Imigresen Johor itu dilakukan pada jam 4.50 petang selepas mendapat maklumat awam dan hasil risikan Unit Tindakan dan Operasi Imigresen.

"Modus operandi adalah menerusi seorang warga Bangladesh dipercayai telah menjalankan kegiatan pemalsuan dokumen perjalanan, tiket penerbangan, E-visa dan khidmat pendaftaran Program Rekalibasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 serta PLKS sejak setahun lalu dengan mengaut keuntungan sehingga puluhan ribu ringgit.

"Hasil pemeriksaan yang dilakukan pihak imigresen merampas empat naskhah pasport India; satu unit komputer; satu unit mesin pencetak; enam telefon bimbit; satu set salinan dokumen perjalanan dan permit yang disyaki palsu serta wang tunai RM320," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Pegawai Imigresen Johor melakukan pemeriksaan dalam Ops Serkap yang di Gelang Patah, Iskandar Puteri pada 5 Oktober lalu.
Pegawai Imigresen Johor melakukan pemeriksaan dalam Ops Serkap yang di Gelang Patah, Iskandar Puteri pada 5 Oktober lalu.

Beliau berkata, menerusi Ops Serkap itu, pihaknya berjaya menahan empat lelaki warga Bangladesh; seorang lelaki Nepal dan seorang lelaki warga Bangladesh berstatus penduduk tempatan tetap.

Katanya, semua mereka ditahan mengikut Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63; Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966; Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Seksyen 56(1A)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Sementara seorang warga Bangladesh berstatus Penduduk Tetap ditahan di bawah Seksyen 56(1A)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 56 (1)(d) Akta Imigresen 1959/63 ( Akta 155 ) kerana melindungi warga asing," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Baharuddin turut menggesa orang awam agar menyalurkan aduan dan maklumat berkaitan warga asing kepada pihak berkuasa.

"Jabatan ini tidak akan berkompromi atas apa jua bentuk kegiatan yang melanggar undang-undang dan akan sentiasa memastikan usaha-usaha membanteras sindiket berkaitan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan aktiviti tidak berintegriti sentiasa dilaksanakan.

"Kita memandang serius kegiatan sindiket yang mengaut keuntungan dengan mengeluarkan serta membekalkan dokumen palsu yang boleh mencemar nama baik dan imej Jabatan Imigresen Malaysia," ujar beliau.

Tindakan tegas katanya, akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mengupah atau bersubahat melindungi PATI.