[VIDEO] Warga Bangladesh tak mengaku cuba beri rasuah

Shahin (depan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini pada Isnin atas pertuduhan memberi rasuah kepada pegawai penguatkuasa di sebuah premis perniagaan di Nusa Jaya, Iskandar Puteri pada 15 Februari lalu.
Shahin (depan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini pada Isnin atas pertuduhan memberi rasuah kepada pegawai penguatkuasa di sebuah premis perniagaan di Nusa Jaya, Iskandar Puteri pada 15 Februari lalu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang buruh binaan warga Bangladesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini pada Isnin atas pertuduhan memberi rasuah kepada pegawai penguatkuasa di sebuah premis perniagaan di Nusa Jaya, Iskandar Puteri pada 15 Februari lalu.

Tertuduh, Shahin Alam, 30, membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Datuk Kamal Ariffin Ismail setelah pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan, Shahin didakwa cuba memberikan rasuah kepada Pembantu Penguatkuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) agar tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas premis perniagaan berkenaan kerana telah melanggar syarat-syarat lesen perniagaan.

Shahin didakwa cuba memberikan rasuah berjumlah RM1,000 sebagai dorongan agar tidak dikenakan tindakan penguatkuasaan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, Shahin boleh boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Pegawai Pendakwa SPRM, Ikhwan Ihsan Jalaludin mencadangkan jaminan RM20,000 terhadap tertuduh dalam cagaran wang tunai dengan dua penjamin warganegara Malaysia dan tertuduh perlu melapor diri hadir ke Pejabat SPRM, Johor Bahru sekali sebulan.

Peguam, R. Jegathisvaran memaklumkan bahawa tertuduh bersetuju untuk mendapatkan dua penjamin warganegara Malaysia serta bersetuju untuk melapor diri di Pejabat SPRM Johor Bahru, sekali sebulan.

Bagaimanapun, tertuduh memohon agar wang jaminan dikurangkan kepada RM10,000 kerana hanya memiliki gaji bulanan RM1,500 sebulan dan sejumlah RM1,000 akan dihantar ke Bangladesh bagi tujuan menyara kehidupan isteri dan seorang anaknya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan wang jaminan RM10,000 dalam cagaran wang tunai dengan seorang penjamin warganegara Malaysia dan tertuduh perlu melapor diri di Pejabat SPRM Johor Bahru sekali dalam sebulan mengikut mana-mana hari yang dipilih.

Mahkamah juga menetapkan tarikh 20 Julai 2023 sebagai tarikh sebutan semula kes dengan melantik seorang jurubahasa Bangladesh dan tarikh serahan kesemua dokumen.