Tumpu nasib golongan berhenti kerja jaga keluarga sakit

Belanjawan 2024 perlu memberi penekanan terhadap penjaga atau individu yang terpaksa berhenti kerja untuk menjaga keluarga sakit. - Gambar hiasan 123rf (Gambar kecil dari kiri: Siti Shahrosamirah, Che N Intan, Nur Atiqah)
Belanjawan 2024 perlu memberi penekanan terhadap penjaga atau individu yang terpaksa berhenti kerja untuk menjaga keluarga sakit. - Gambar hiasan 123rf (Gambar kecil dari kiri: Siti Shahrosamirah, Che N Intan, Nur Atiqah)
A
A
A

SEREMBAN - Belanjawan 2024 perlu memberi penekanan terhadap penjaga atau individu yang terpaksa berhenti kerja untuk menjaga keluarga sakit.

Ia termasuklah menyediakan beberapa inisiatif bersesuaian untuk kelangsungan hidup golongan ini berikutan mereka juga terkesan dengan kos sara hidup kerana tidak mempunyai pendapatan tetap.

Bekas pekerja swasta, Siti Shahrosamirah Shaharman, 38, berharap kerajaan membuang syarat atau kriteria layak terima bantuan iaitu pendapatan bulanan isi rumah.

“Ada situasi penjaga (caretaker) terpaksa berhenti kerja untuk menjaga keluarga sakit di rumah ahli keluarga lain atau adik-beradik lain.

“Bantuan diberikan kepada penjaga, jadi kenapa perlu letak syarat pendapatan isi rumah? Sudah terang-terang penjaga ini tiada pendapatan tetap dan realitinya dia memerlukan bantuan kewangan untuk keperluan peribadi, komitmen bulanan dan lain-lain.

“Ini kerana pada pendapat saya, sedekah, sumbangan adik-beradik dan saudara mara atau sahabat kepada penjaga tidak boleh diambil kira sebagai pendapatan,” katanya kepada Sinar Ahad.

Senada dengan Siti Shahrosamirah, Che N Intan Zainol, 50, berkata, cadangan itu secara tidak langsung dapat mengurangkan beban yang ditanggung penjaga berkenaan.

“Selain itu kerajaan juga diharap dapat memberi kelonggaran kepada golongan ini untuk membuat pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) disebabkan tidak mempunyai pendapatan tetap.

Artikel Berkaitan:

“Orang yang sakit itu sudah tentu dapat bantuan secara bulanan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), penjaganya bagaimana? Pesakit terlantar terutamanya penjaganya tidak boleh keluar bekerja seperti kebanyakan orang.

“Bagaimanapun saya bersetuju kalau dibenarkan pengeluaran secara bersasar khasnya kepada individu yang telah kehilangan punca pendapatan. Duit berkenaan boleh digunakan untuk menyelesaikan hutang,” katanya yang juga bekas pemilik kedai runcit.

Sementara itu, bagi Nur Atiqah Lew Lew Fut Nean, 56, pula berharap kerajaan dapat menimbang inisiatif bersesuaian kepada penjaga kepada ahli keluarga yang sakit.

“Saya tiada pendapatan tetap bahkan sesiapa sahaja yang berhenti kerja menjaga ahli keluarga sakit beri kesan yang besar sebab masih perlu mencari sumber kewangan bagi menampung perbelanjaan harian sendiri.

“Saya menjaga ibu ayah yang sudah uzur dan terlantar, ia membabitkan kos lampin pakai buang, susu tepung, ubat-ubatan dan lain-lain. Sekiranya ada bantuan untuk penjaga, bersyukur sangat,” katanya yang merupakan guru tuisyen sambilan.