Belanjawan 2024: MoF adakan siri libat urus

Ahmad pada sidang media selepas Majlis Libat Urus Belanjawan 2024 di Kementerian Kewangan pada Jumaat. - Foto Bernama
Ahmad pada sidang media selepas Majlis Libat Urus Belanjawan 2024 di Kementerian Kewangan pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KEMENTERIAN Kewangan (MoF) akan meneruskan sesi libat urus Belanjawan 2024 secara fizikal dan dalam talian bagi mendapatkan input pelbagai pihak untuk pembentangan belanjawan itu, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Selain siri libat urus yang akan diadakan sebagai susulan majlis libat urus yang berlangsung di MoF di sini pada Jumaat, beliau berkata, siri jelajah ke negeri-negeri juga akan diadakan bersama rakan sejawatannya Steven Sim Chee Keong bagi tujuan sama.

"Setiap cadangan yang diterima sama ada secara fizikal atau dalam talian akan diteliti oleh pelbagai pihak, dikumpul dan dikoordinasikan sebelum pembentangan Belanjawan 2024 yang dijadual pada 13 Oktober depan,” katanya dalam sidang media selepas sesi libat urus Belanjawan 2024 di MoF itu.

Libat urus bertemakan "Memperkasa Malaysia Madani” itu antaranya dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Sesi yang berlangsung lebih dua jam itu turut dihadiri oleh lebih 150 individu daripada pelbagai kementerian dan agensi serta pihak pemain industri antaranya Persatuan Teknologi Kebangsaan Malaysia (Pikom), Dewan Usahawan Industri Desa (DUID) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Ahmad berkata orang ramai juga dialu-alukan memberikan pendapat dan input mengenai Belanjawan 2024 menerusi https://belanjawan.mof.gov.my/ms/. - Bernama

Sesi Libat Urus Belanjawan 2024 memberi 'cahaya’ dalam perancangan ekonomi negara.

Dalam pada itu, keterbukaan Anwar mendengar pandangan daripada wakil industri dan pelbagai organisasi ketika mengadakan pembentangan dalam majlis Sesi Libat Urus Belanjawan 2024 pada Jumaat memberi 'cahaya’ dalam perancangan ekonomi negara.

Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, UKM (MINDA- UKM), Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, Perdana Menteri meletak kerangka utama Belanjawan 2014 ‘Memperkasa Ekonomi Madani’.

Katanya, dua serampang iaitu merancakkan pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat mesti difikir serentak.

"Belanjawan mesti memberi impak kepada rakyat. Bagaimana ia boleh merancakkan ekonomi negara agar menjadi destinasi pelaburan global, mengukuhkan teras ekonomi berpaksi pengetahuan dan inovasi, meneraju ekonomi Islam serta menjaguhi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

"Perlu dilihat juga bagaimana manfaatnya dapat terus dikecapi rakyat. Hari ini, untuk kick-off Belanjawan 2024, saya anggap berjaya," katanya menerusi kenyataan dimuat naik di laman Facebook pada Jumaat.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Anwar dan Kementerian Kewangan di atas kejayaan tersebut.

"Moga negara kita terus maju untuk kita semua," jelasnya.