Kerajaan lulus bina 257 rumah nelayan

Muhammad Faiz (tiga dari kiri) menyerahkan kunci kepada nelayan Mohd Sapian (tiga dari kanan)
Muhammad Faiz (tiga dari kiri) menyerahkan kunci kepada nelayan Mohd Sapian (tiga dari kanan)
A
A
A

KUALA NERUS - [DIKEMAS KINI] Kerajaan meluluskan pembinaan sebanyak 257 buah rumah nelayan di bawah Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) sejak 10 tahun lalu.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, setakat ini, sebanyak 173 rumah telah diserahkan kepada nelayan di seluruh negara dengan peruntukan sebanyak RM58,000 bagi setiap sebuah rumah.

"Pembinaan rumah ini dilakukan secara berperingkat mengikut tahap kedaifan dan keperluan nelayan di sesebuah negeri.

"Kita menyasarkan 257 unit rumah baharu dengan peruntukkan bernilai RM16.3 juta bagi nelayan di seluruh negara pada tahun ini," katanya pada sidang akhbar sempena program penyerahan Rumah Nelayan di bawah PKPN di Pulau Redang, di sini pada Sabtu.

Muhammad Faiz memberitahu, Sarawak memperoleh agihan rumah tertinggi iaitu sebanyak 71 buah diikuti Kedah (49 buah), Perak (34 buah), Negeri Sembilan (25 buah), Terengganu (25 buah) dan Wilayah Persekutuan Labuan (16 buah).

Selain itu katanya, agihan melibatkan Johor (11), Selangor (8), Perlis (5), Pahang (4), Kelantan (4), Melaka (4) dan Pulau Pinang (1).

"Pada tahun ini LKIM telah menyerahkan 173 buah rumah baharu kepada penerima dengan kos sebuah rumah adalah sekitar RM58,000," jelasnya.

Pada majlis tersebut, Muhammad Faiz juga menyampaikan sumbangan bakul makanan dan enam unit lampu LED bernilai RM4,500 untuk dipasang di bangsal nelayan untuk kegunaan waktu malam.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Faiz menambah, selain rumah bina baharu, LKIM turut menyediakan peruntukan sebanyak RM212.9 juta bagi membaik pulih rumah di bawah program PKPN pada tahun ini.

Sementara itu, penerima yang juga seorang nelayan, Mohd Sapian Hussin, 46, berkata, dia bersyukur kerana setelah sekian lama menunggu sejak dua tahun lalu akhirnya mendapat sebuah rumah baharu untuk didiami bersama ahli keluarga.

"Terima kasih LKIM dan kerajaan kerana membina sebuah rumah baharu kepada nelayan seperti saya.

Sebelum ini saya tinggal di rumah kayu yang sudah reput bersama dengan keluarga mentua.

"Akhirnya dapat rumah baharu di tanah pusaka peninggalan keluarga saya sendiri.

Saya sangat bersyukur," ujarnya.