KKM siap siaga hadapi Monsun Timur Laut - Dr Zaliha

Dr Zaliha melawat tapak projek pembinaan Bangunan Hemodialisis di Klinik Kesihatan Chemomoi hari ini. Foto Bernama
Dr Zaliha melawat tapak projek pembinaan Bangunan Hemodialisis di Klinik Kesihatan Chemomoi hari ini. Foto Bernama
A
A
A

BENTONG - Kementerian Kesihatan (KKM) sudah bersiap siaga menghadapi Monsun Timur Laut (MTL), termasuk menyediakan 453 klinik alternatif kepada 552 premis kesihatan KKM yang berisiko dilanda banjir, di seluruh negara.

Menteri berkenaan, Dr Zaliha Mustafa berkata, klinik alternatif itu, akan bersedia untuk beroperasi dan memberikan perkhidmatan kepada pesakit di kawasan premis kesihatan KKM yang terjejas banjir, sepanjang MTL yang dijangka berlaku pada November ini hingga Mac tahun depan.

Beliau berkata, KKM juga telah melakukan persiapan rapi, terutamanya berkaitan kekuatan dan kesediaan petugas kesihatan, kelengkapan peralatan dan perubatan, serta aset-aset kenderaan.

"Kita sentiasa bersedia, KKM memantau rapi situasi MTL selain bekerjasama rapat dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) selaku agensi pusat.

"Di peringkat negeri pula kita sentiasa berhubung dan bekerjasama dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Klinik Kesihatan (KK) Chemomoi dan KK Telemong di sini hari ini.

Dalam perkembangan berasingan, Dr Zaliha berkata, KMM memantau rapi 28 projek sakit melibatkan pembinaan pelbagai projek kementerian itu di seluruh negara.

Beliau berkata pemantauan yang turut melibatkan Jabatan Kerja Raya (JKR) itu, bertujuan memastikan setiap projek disiapkan mengikut jadual asal, selain mengambil tindakan menghentikan tender kepada kontraktor yang bermasalah.

"Antara masalah utama yang kita lihat kontraktor ini hadapi sehingga gagal menunjukkan kemajuan kepada projek pembinaan ialah masalah kewangan dan tidak mempunyai tenaga kerja yang mencukupi untuk menjalankan kerja-kerja di tapak.

Artikel Berkaitan:

"Contohnya di KK Chemomoi ini ada satu projek sakit membabitkan pembinaan pusat dialisis yang sepatutnya dijadualkan siap bulan lepas, namun sehingga kini baru di tahap 50 peratus, jadi kita dah tamatkan perkhidmatan kontraktor lama dan akan melakukan tender semula, melantik kontraktor penyelamat bagi memastikan ia disiapkan selewat-lewatnya tahun hadapan,” katanya.

Dr Zaliha berkata, apabila siap kelak, kemudahan pusat dialisis di KK Chemomoi itu akan memberi manfaat kepada kira-kira 29 pesakit daripada Bentong, selain pesakit yang memerlukan rawatan sama daripada sekitar Bera.

Dalam lawatan ke KK Chemomoi itu juga Dr Zaliha berkata, kementerian bersetuju untuk menyediakan perkhidmatan X-Ray di premis berkenaan, bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada penduduk setempat selain mengurangkan kesesakan di hospital berhampiran.

Mengenai isu kelewatan pembinaan KK Telemong di sini, beliau berkata KKM sudah mengadakan pertemuan dengan kontraktor dilantik dan mereka memberi jaminan pembinaan akan dipercepatkan dengan dijangka siap pada akhir tahun ini. - Bernama