Monsun Timur Laut: Suruhanjaya Tenaga nasihat utamakan keselamatan elektrik dan gas

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Tenaga (ST) mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada serta mengutamakan keselamatan dalam penggunaan elektrik dan gas susulan musim peralihan Monsun Timur Laut (MTL) di negara ini.

ST dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, keadaan cuaca di fasa peralihan MTL yang dijangka berterusan sehingga November ini, berpotensi menyebabkan banjir serta bencana lain dan seterusnya boleh mengakibatkan pelbagai risiko, antaranya tiang elektrik tumbang, talian elektrik putus dan kerosakan kelengkapan elektrik dan gas.

Berikutan itu, ST berkongsikan beberapa langkah pengawasan yang boleh diambil, untuk memastikan keselamatan elektrik dan gas terutamanya sebelum, semasa dan selepas banjir.

"Sekiranya mempunyai masa sebelum diarah pindah, pastikan simpan kelengkapan elektrik di tempat tinggi dan selamat daripada ditenggelami banjir, mematikan bekalan utama di papan agihan elektrik dan pepasangan elektrik, yang disambung secara berasingan daripada suis utama seperti solar fotovoltaik (PV) atau pagar elektrik, dan memastikan injap silinder gas atau gas perpaip ditutup,” menurut kenyataan itu.

Semasa berlaku banjir, orang ramai perlu mengelakkan daripada melalui kawasan yang ada talian elektrik atau pepasangan elektrik, seperti pencawang dan bilik suis elektrik yang ditenggelami air, serta elakkan daripada berada di lokasi yang terdapat talian elektrik putus.

ST turut mengingatkan orang ramai, untuk mengelakkan daripada memegang tiang atau apa-apa struktur yang menyalurkan elektrik, selain dilarang untuk mengalih tiang elektrik tumbang atau talian elektrik putus dan segera melaporkannya kepada pihak utiliti elektrik.

Bagi memastikan keselamatan penggunaan elektrik dan gas selepas banjir, ST menasihatkan orang ramai memastikan suis utama di papan agihan elektrik dan injap saluran gas, berada pada kedudukan tertutup (posisi bawah) sebelum kerja pembersihan dimulakan.

"Sebelum dipasangkan (posisi atas) suis utama, pastikan kelengkapan elektrik dalam keadaan baik dan kering, serta mengelakkan menggunakan kelengkapan elektrik dan gas yang diragui keselamatannya.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya meragui keselamatan sistem elektrik dan gas berpaip, dapatkan perkhidmatan kontraktor elektrik atau gas yang berdaftar dengan ST,” menurut kenyataan itu.

ST juga menasihatkan agar menyimpan nombor telefon pejabat kecemasan seperti nombor balai polis, bomba, hospital dan syarikat utiliti yang berdekatan, dan memastikan nombor tersebut mudah diakses semasa kecemasan.

Untuk pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi ST melalui talian 03-8870 8800 atau email ke eaduan@st.gov.my atau melayari laman sesawang www.st.gov.my. - Bernama