Tun M puji rakyat Kelantan cekap berniaga

Dr Mahathir melihat proses pembuatan nasi berlauk di Kelantan pada Jumaat.
Dr Mahathir melihat proses pembuatan nasi berlauk di Kelantan pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memuji rakyat Kelantan yang dilihat cekap dalam menjalankan perniagaan dan sanggup mengambil risiko.

Beliau berkata, rakyat di negeri itu memang sinonim dengan berniaga selain mengambil contoh seorang peniaga nasi berlauk yang sanggup menghantar makanannya ke negeri lain terutama di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Menurutnya, Kelantan akan menjadi lebih makmur dan berjaya sekiranya sumber negeri dan kebolehan rakyatnya diperkenalkan dengan baik.

“Saya sedia maklum Kelantan ini terkenal dengan nasi berlauk. Salah satu yang terkenal ialah nasi berlauk Kak Chik dari Tumpat.

“Selesai mesyuarat saya singgah tengok proses pembuatan makanan ini hinggalah pembungkusan dan penghantaran. Tukang masak beritahu mereka mula memasak seawal jam 3 pagi.

“Makanan yang dimasak tadi dibuat hingga 10,000 bungkus sehari, ia dijual di kedai ini dan ada yang dibungkus dan dihantar dengan kapal terbang atau kereta ke Lembah Klang,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi membincangkan mengenai pembangunan di negeri itu.

Dr Mahathir menjelaskan, perbincangan tersebut tertumpu kepada meningkatkan pelaburan, penggunaan tanah sebagai modal dan penyelesaian kepada isu bekalan air bersih.

Artikel Berkaitan:

Sebagai sebahagian daripada program State Government 4 (SG4), beliau berpandangan, pelabur akan berminat untuk datang ke negeri itu sekiranya ia mampu menyediakan kemudahan asas seperti sistem jalan raya, bekalan air dan elektrik yang baik.

Tambahnya, rakyat Kelantan mampu membekalkan tenaga kerja apabila industri dibuka kerana ramai daripada golongan tersebut berhijrah ke Lembah Klang bagi memenuhi ruang pekerjaan.

“Rata-rata penduduk di sini (Kelantan) terlibat dalam aktiviti perniagaan dan kebanyakannya ialah industri kecil-kecilan.

“Tidak banyak industri perkilangan dari luar negara yang bertapak di sini kecuali syarikat ROHM-Wako Electronics dari Jepun, asalnya di Selangor tetapi memilih untuk berpindah dan membuka kilang di Kota Bharu pada 1989,” ulasnya.