Malaysia jimat RM1.1 bilion jika amal dasar pengurangan kemudaratan

Badan pemikir, CME menganggarkan lebih RM1.1 bilion perbelanjaan kerajaan boleh dijimatkan setiap tahun jika Malaysia mengamalkan dasar pengurangan bahaya dalam industri kesihatan awam dan pengangkutan.
Badan pemikir, CME menganggarkan lebih RM1.1 bilion perbelanjaan kerajaan boleh dijimatkan setiap tahun jika Malaysia mengamalkan dasar pengurangan bahaya dalam industri kesihatan awam dan pengangkutan.
A
A
A

SHAH ALAM - Badan pemikir, The Center for Market Education (CME) menganggarkan lebih RM1.1 bilion perbelanjaan kerajaan boleh dijimatkan setiap tahun jika Malaysia mengamalkan dasar pengurangan bahaya dalam industri kesihatan awam dan pengangkutan.

Dapatan itu adalah hasil penyelidikan yang digariskan dalam Kertas Polisi Nombor 6 yang dikeluarkan baru-baru ini, bertajuk ‘Pengurangan Kemudaratan, Penjimatan Penjagaan Kesihatan dan Pertumbuhan Ekonomi: Satu Strategi untuk Malaysia’ yang ditulis oleh Ketua Pegawai Eksekutif CME, Dr Carmelo Ferlito dan Pembantu Penyelidik, Imran Shamsunahar.

Kajian itu juga mendapati, lebih daripada RM305 bilion boleh dijana dalam pelaburan domestik dan asing manakala lebih daripada 300,000 pekerjaan diwujudkan dalam tempoh 10 tahun akan datang dalam industri semikonduktor sahaja.

Dr Ferlito berkata, kertas kerja baharu itu memperkenalkan konsep pengurangan bahaya dengan pendekatan menolak penggunaan sekatan atau larangan dan sebaliknya menerima dasar yang menyediakan lebih banyak pilihan untuk alternatif yang kurang berbahaya.

“Kertas kerja itu menggariskan tiga penemuan utama iaitu menganggarkan penjimatan penjagaan kesihatan yang dibawa oleh penggunaan dasar pengurangan bahaya dan kesan limpahan positif ke atas ekonomi daripada segi pelaburan serta penciptaan pekerjaan.

“Selain itu, kita juga menyenaraikan tonggak untuk strategi dasar komprehensif yang diilhamkan oleh pengurangan bahaya,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, Imran berkata, bermula dengan kesan pengurangan bahaya yang dikenakan terhadap penggunaan produk nikotin seperti e-rokok dan produk tembakau yang dipanaskan, kajian yang dibuat menganggarkan penjimatan penjagaan kesihatan sehingga RM787.78 juta dalam tempoh 10 tahun.

Jelasnya, ia adalah hasil daripada penurunan dalam kadar merokok orang dewasa akibat beralih kepada alternatif yang kurang berbahaya.

Artikel Berkaitan:

“Tambahan pula, menukar hanya satu peratus daripada populasi perokok kepada produk alternatif berpotensi menjimatkan RM2.61 bilion kehilangan produktiviti (dalam kes ini, peningkatan produktiviti). Dalam erti kata lain, ini mewakili penjimatan tahunan bersamaan 0.16 peratus daripada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) Malaysia,” jelas Imran.

Ujar beliau, melihat kepada anggaran penjimatan penjagaan kesihatan yang diperoleh daripada penggunaan pengurangan bahaya kepada kenderaan elektrik, kertas kerja itu mengunjurkan bahawa ia dapat mencapai sasaran WHO 2025 dalam mengurangkan 70 peratus kos penjagaan kesihatan kepada AS$21,919 juta (RM103,195 juta) disebabkan oleh pencemaran udara.

Jelasnya, berdasarkan sasaran kerajaan untuk mempunyai 15 peratus daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) terdiri daripada kenderaan elektrik (EV) dan hibrid menjelang 2030 dan kepada 38 peratus menjelang 2040, penjimatan penjagaan kesihatan negara diunjurkan antara 6.43 peratus dan 24.93 peratus daripada kos semasa berkaitan pencemaran.

Secara tidak langsung katanya, Malaysia dapat penjimatan daripada pengurangan pelepasan antara AS$755.89 juta dan AS$1,157.27 juta (RM3,558.73 dan RM5,448.43 juta) menjelang 2030 dan antara AS$1,914.92 juta dan AS$2,931.75 juta menjelang 2040.

“Berkenaan dengan alternatif gula, CME menganggarkan bahawa kos langsung dan tidak langsung bagi rakyat Malaysia yang berpunca daripada diabetes berjumlah hampir RM15 bilion setahun.

“Melalui penggunaan ‘kromium picolinate’, RM1.31 boleh dijimatkan bagi setiap RM1 yang dibelanjakan dengan potensi penjimatan kos bersih berjumlah RM248.27 juta setahun.

“Melihat kepada pelaksanaan percukaian perbezaan ke atas kandungan gula, dianggarkan penurunan 10 peratus dalam penggunaan minuman bergula berpotensi bertukar menjadi 0.7 peratus penjimatan kos penjagaan kesihatan berkaitan kos penjagaan kesihatan berkaitan diabetes, atau RM105 juta,” katanya.

Tambah Imran, kajian itu itu turut meliputi kesan limpahan pada industri semikonduktor dan ekosistemnya dalam tempoh 10 tahun.

Ia memandangkan semikonduktor adalah komponen penting untuk kedua-dua EV dan peranti elektronik untuk e-rokok dan produk tembakau yang dipanaskan serta Malaysia yang menonjol dalam industri ini.

“Kajian menganggarkan, Malaysia mampu menarik hampir AS$65 bilion (lebih daripada RM305 bilion) dalam pelaburan langsung domestik (DDI) dan pelaburan langsung asing (FDI) swasta serta kerajaan melalui lebih daripada 550 projek.

“Ia juga akan mewujudkan lebih daripada 300,000 pekerjaan, secara langsung, tidak langsung dan teraruh,” jelasnya.