Dadah: Farid Kamil dipenjara sembilan bulan

Gambar kecil: Farid Kamil
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMASKINI] Mahkamah Majistret Petaling Jaya di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan ke atas pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil Zahari selepas didapati bersalah menggunakan dadah jenis ganja Tetra Hydrocannibol (THC) Januari tahun lalu.

Majistret Nor Ariffin Hisham turut memerintahkan Farid, 38, berada di bawah pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun dalam satu prosiding yang ditetapkan untuk dia membela diri hari ini.

Selebriti itu sepatutnya memberi keterangan secara bersumpah dalam kandang saksi sebaliknya memilih untuk berdiam diri.

Mengikut peruntukan undang-undang sekiranya memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi, tertuduh boleh diperiksa balas oleh pihak pendakwaan. Sebaliknya sekiranya memberi keterangan dalam kandang tertuduh, mereka tidak akan disoal balas oleh pihak pendakwa raya

Sementara itu, jika tertuduh memilih berdiam diri, tertuduh akan disabitkan dan dihukum mengikut penalti yang ditetapkan dalam seksyen tertuduh didakwa.

Dalam pada itu dalam keputusan tersebut Nor Ariffin juga tidak membenarkan permohonan peguam bela Farid untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman tersebut.

Susulan itu Farid terpaksa akur dibawa ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara yang ditetapkan bermula hari ini.

Sebelum menerima hukuman itu, peguamnya, Megat Syazlee Mokhtarom memohon supaya mahkamah tidak mengenakan hukuman penjara sebaliknya hanya mengenakan hukuman denda kerana tertuduh merupakan penanggung utama keluarga.

"Tertuduh bekerja sendiri, mempunyai seorang isteri dan dua anak yang perlu ditanggung, hukuman pemenjaraan menyebabkan tertuduh sukar menanggung keluarganya," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman berat memandangkan pihak pendakwaan telah mengambil keterangan seramai lima saksi dalam perbicaraan.

Mengikut pertuduhan, Farid didakwa menggunakan dadah berbahaya THC, iaitu ‘11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pukul 4.30 petang pada 11 Januari 2018.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pada 30 April lalu, selebriti itu diperintah bela diri dan diberi pilihan sama ada berdiam diri, memberi keterangan tanpa sumpah di luar kandang saksi atau memberi keterangan secara bersumpah dalam kandang saksi.