Terengganu tubuh Majlis Mineral REE lindung hak negeri

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu telah menubuhkan Majlis Mineral Unsur Nadir Bumi (REE) di negeri itu sebagai platform dalam menangani semua urusan berkaitan dengan perlombongan dan pembangunan industri berkenaan.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penubuhan majlis tersebut bertujuan bagi memastikan kedaulatan dan hak Terengganu sebagai pengeluar REE dapat dilindungi dengan sewajarnya demi kepentingan rakyat dan negeri.

Jelas beliau, Majlis Mineral REE Negeri Terengganu berperanan dalam menentukan dasar dan hala tuju pembangunan berkaitan REE termasuk mengadakan perbincangan royalti serta pembangunan peluang perniagaan.

"Ia turut berfungsi untuk memantau projek dan pembahagian peluang-peluang perniagaan serta peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini.

"Selain itu, majlis tersebut juga akan memberi fokus kepada tanggungjawab sosial korporat (CSR), pembangunan modal insan dan ekonomi bagi rakyat termasuk pengagihan kontrak secara berpusat kepada kontraktor yang berdaftar demi memastikan kesinambungan peluang perniagaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Jertih, Dr Riduan Mohamad Nor di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri menyatakan Majlis Mineral REE itu dinaungi oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan dipengerusikan oleh Menteri Besar.

Katanya lagi, unjuran potensi REE telah dilakukan melalui Kajian NR-REE di Malaysia yang dimulakan oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) pada tahun 2014 dengan kerjasama daripada Academy Sains Malaysia (ASM).

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kajian yang dilakukan adalah terhad kepada kawasan luluhawa granit yang terdapat di daerah Setiu, Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman dengan anggaran keluasan kawasan yang berpotensi adalah seluas 581,735 hektar (1,437,500 ekar) dan mampu mengeluarkan sebanyak 7,187,500 juta tan.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri menyatakan satu lawatan bagi kumpulan kerja teknikal juga telah dilakukan ke kawasan perlombongan REE di Gerik, Perak pada Mac lalu bagi melihat aktiviti perlombongan REE secara lebih dekat.

Katanya, lawatan berkaitan REE juga telah diadakan di Kilang Lynas, Gebeng Kuantan di mana kilang tersebut merupakan kilang memproses REE yang diimport dari negara luar iaitu Australia.

"Kerajaan negeri juga akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah disediakan oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim ke arah pembangunan mineral yang lestari dan mampan," jelasnya.