REE: Negeri boleh jana pendapatan baharu

Hampir kesemua negeri di Malaysia dipercayai memiliki REE, namun berbeza kepekatan dan kawasan. Gambar hiasan. (Gambar kecil: MOHD YUSOFF)
Hampir kesemua negeri di Malaysia dipercayai memiliki REE, namun berbeza kepekatan dan kawasan. Gambar hiasan. (Gambar kecil: MOHD YUSOFF)
A
A
A

SHAH ALAM - Kebenaran penerokaan awal unsur nadir bumi (REE) dijangka menjadi platform pendapatan baharu bagi negeri yang memiliki unsur logam itu.

Pensyarah Kanan di Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia, Dr Mohd Yusoff Ishak berkata, eksplorasi awal itu lebih kepada untuk menilai sama ada berbaloi ataupun tidak untuk meneruskan penerokaan bagi tujuan pengeluaran REE secara komersial.

“Harga REE memang mahal sebab kos pengeluarannya tinggi, kesukaran mengeluarkan bahan dan kesukaran mengawal kerosakan disebabkan aktiviti perlombongan.

“Boleh dikatakan ia menjadi sumber pendapatan baharu kepada negeri tetapi proses pengeluaran bahan ini secara komersialnya pastinya akan tertakluk kepada syarat yang ketat,” katanya.

Media pada Rabu melaporkan kerajaan negeri kini dibenarkan membuat penerokaan awal REE berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada untuk perlombongan nadir bumi dan mineral.

Mengulas lanjut, Mohd Yusoff memberitahu, hampir kesemua negeri di Malaysia dipercayai memiliki REE, namun berbeza kepekatan dan kawasan iaitu sama ada sudah diteroka menjadi bandar atau di luar bandar.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, penjanaan pendapatan daripada projek pengeluaran REE secara komersial mungkin mengambil masa kerana ia perlu melalui banyak proses.

“Kerja penerokaan awal ini mungkin ambil masa paling minimum enam bulan bergantung kepada lokasi dan kelulusan pengeluaran ambil masa sekurang-kurangnya lebih setahun.

Artikel Berkaitan:

“Hasil kajian dan penerokaan awal itu perlu dibentangkan terlebih dahulu dalam mesyuarat dan selepas dapat persetujuan daripada semua pihak, barulah proses pengeluaran secara komersial dilakukan dengan syarat-syarat ketat agensi berkaitan seperti Jabatan Alam Sekitar,” ujarnya.

Katanya, pelaksanaan projek itu juga mungkin tertangguh dan memakan masa yang panjang jika ada bantahan daripada masyarakat setempat sekiranya ia memberi impak sosial kepada penduduk sekeliling.