Negeri Sembilan ada unsur nadir bumi bernilai RM30 bilion
SEREMBAN - Negeri Sembilan dianggarkan mempunyai sumber unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) mencecah nilai RM30 bilion.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, Pejabat Tanah Galian (PTG) telah pun mengenal pasti lokasi terdapatnya sumber tersebut dan kerajaan negeri bersedia memulakan aktiviti perlombongan.
"Insya-ALLAH dalam tempoh akhir tahun ini, kita akan lihat dan memperincikan bagaimana untuk kita buat prosedur operasi standard (SOP) di peringkat negeri dan tambah baik dari segi prosedurnya.
"Kita juga akan guna SOP kerajaan Pusat dan akan lihat juga bagaimana bayaran royalti, lesen dan lain-lain. Itu perkara yang kita akan bagi pertimbangan sebelum memulakannya seawal tahun hadapan," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Negeri pada Rabu.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad bahawa kerajaan negeri dibenar untuk melaksanakan eksplorasi awal REE berdasarkan SOP Sumber Asli REE dan dasar-dasar mineral sedia ada.
Menurut Aminuddin, pihaknya juga akan melihat keperluan menyediakan pusat sehenti yang dapat memastikan perlombongan REE itu dikawal dan mengikut peraturan ditetapkan.
Selain itu katanya, antara perkara yang akan diberikan perhatian oleh kerajaan negeri sebelum memulakan perlombongan REE adalah berkaitan status tanah kawasan terlibat.
“Ada beberapa perkara yang akan dibawa ke dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri iaitu tentang bagaimana melibatkan tanah kerajaan, tanah individu atau tanah syarikat yang akan terlibat dalam perlombongan ini.
“Kita sedia maklum perlombongan yang melibatkan hutan simpan kekal adalah tidak dibenarkan dan buat masa ini belum ada kelulusan mengenainya. Perlombongan hanya melibatkan tanah individu, tanah persendirian, tanah syarikat atau tanah kerajaan negeri,” katanya.