Kerajaan Sabah serah 45 bot untuk operasi banjir

Hajiji (tiga dari kanan) diiringi Hamsa (empat dari kiri) ketika majlis penyerahan bot di pekarangan Menara Kinabalu.
Hajiji (tiga dari kanan) diiringi Hamsa (empat dari kiri) ketika majlis penyerahan bot di pekarangan Menara Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Sebanyak 45 bot untuk kegunaan menyelamat mangsa banjir di negeri ini diserahkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Daerah.

Penyerahan bot daripada kerajaan negeri itu disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor di pekarangan Menara Kinabalu, di sini, pada Rabu.

Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Jabatan Ketua Menteri, Datuk Awang Shahminan Sahari berkata, daripada jumlah keseluruhan bot itu sebanyak 15 bot diserahkan kepada JBPM dan selebihnya kepada daerah-daerah yang kerap dilanda banjir.

Awang Shahminan
Awang Shahminan

"Usaha daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) ini dapat membantu pengurusan banjir ketika usaha menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir nanti.

"Antara daerah yang menerima bot ini ialah daerah yang sering dilanda banjir seperti Beaufort, Pitas, Penampang, Kota Marudu, Tenom, Paitan, Kota Belud, Sipitang, Papar, Tongod, Tuaran dan Kota Kinabalu," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan itu.

Ditanya lanjut pemilihan bot berkenaan, beliau yang juga Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan bahawa bot itu disediakan mengikut spesifikasi khas daripada Nadma.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Sabah, Hamsa Isnurdini berkata, menerusi penyerahan 15 bot ini akan menambahkan lagi kekuatan untuk operasi banjir di daerah yang terjejas.

Artikel Berkaitan:

Hamsa
Hamsa

"JBPM sudah mempunyai 57 bot di seluruh Sabah tetapi ini tidak mencukupi selain struktur bot terlalu berat dan kurang sesuai untuk operasi banjir.

"Jadi bot yang diperbuat daripada fiber ini lebih mudah pergerakannya untuk operasi banjir di kawasan cetek," jelasnya.