Malaysia sokong usaha masyarakat antarabangsa perangi keganasan

Malaysia kekal komited dalam menyokong usaha masyarakat antarabangsa memerangi keganasan. - Gambar hiasan
Malaysia kekal komited dalam menyokong usaha masyarakat antarabangsa memerangi keganasan. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia kekal komited dalam menyokong usaha masyarakat antarabangsa memerangi keganasan dan mengulangi gesaan supaya tindakan kolektif yang mantap dan berkesan diambil untuk memerangi ancaman global, menurut kenyataan negara pada perhimpunan Jawatankuasa Keenam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Tiada negara yang kebal daripada ancaman keganasan antarabangsa. Kami percaya bahawa hanya melalui kerjasama antarabangsa dan usaha secara kolektif dapat memerangi keganasan,” kata Duta Malaysia ke Iran, Khairi Omar ketika menyampaikan kenyataan bertajuk "Measures to Eliminate International Terrorism" di New York pada 2 Oktober.

Beliau berkata, memerangi keganasan memerlukan usaha bersepadu melalui PBB serta inisiatif serantau dan dua hala.

Malaysia juga menyokong penuh empat tonggak tindakan yang terkandung dalam UN Strategy Counter-Terrorism Global GCTS).

Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya keganasan dalam semua bentuk dan manifestasinya, termasuk tindakan mana-mana negara terlibat secara langsung atau tidak langsung selain kesal atas serangan pengganas di Turkiye dan Pakistan baru-baru ini yang menyaksikan orang awam terkorban.

"Keganasan dan ekstremisme ganas adalah ancaman utama kepada keamanan dan keselamatan dunia. Mengaitkan keganasan dengan agama, kewarganegaraan, tamadun atau kumpulan etnik tertentu adalah tanggapan yang salah.

"Tiada agama menyebarkan keganasan dan tiada kewarganegaraan, tamadun atau kumpulan etnik yang cenderung dengannya. Oleh itu, Malaysia tidak bersetuju dengan stereotaip negatif dan profil orang Islam sebagai pengganas,” katanya.

Dalam negara, Khairi berkata, Malaysia percaya langkah pencegahan lebih berkesan dalam menangani ancaman berkaitan keganasan dan untuk itu undang-undang seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, Akta Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 dan Langkah Khas menentang Keganasan dalam Akta Negara Asing (SMATA) 2015, diperkenal.

Artikel Berkaitan:

"Kami akan terus menggubal undang-undang baharu yang selaras dengan kewajipan antarabangsa Malaysia. Walaupun undang-undang pencegahan penting dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan, Malaysia sentiasa komited untuk memastikan bahawa semua rakyatnya dapat menikmati kebebasan asasi mereka dengan cara yang tidak melanggar hak orang lain.

"Usaha kami diperkukuh lagi melalui kerjasama dengan pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang asing dalam siasatan dan pendakwaan terhadap pengganas dan aktiviti mereka,” katanya.

Khairi berkata memandangkan ancaman radikalisasi dan perekrutan dalam talian, terutama yang menyasarkan golongan muda, Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) yang berpangkalan di Kuala Lumpur aktif melibatkan orang ramai melalui inisiatif pemesejan balasnya untuk mendidik orang ramai tentang bahaya keganasan serta meningkatkan kesedaran tentang petunjuk radikalisasi dan perekrutan.

Malaysia adalah pihak kepada 11 konvensyen dan protokol memerangi keganasan antarabangsa. Di peringkat serantau, Malaysia adalah pihak kepada Konvensyen ASEAN mengenai Pencegahan Keganasan ("ACCT”).

Beliau berkata, Malaysia juga memuji Pejabat Pencegahan Keganasan PBB (UNOCT) kerana mengetengahkan perbincangan penting mengenai pelbagai dimensi ancaman dan cabaran dalam memerangi keganasan.

"Malaysia telah dan akan terus mengambil bahagian dalam wacana dan latihan ini dengan penuh minat. Delegasi saya mengiktiraf manfaat persidangan dan mesyuarat yang diadakan sepanjang tahun oleh agensi dan badan PBB yang berkaitan dalam pencegahan keganasan.

"Malaysia bersikap terbuka dan menyokong penganjuran persidangan peringkat tinggi di bawah naungan PBB," kata duta itu. - Bernama