UNICEF, MASW harap Rang Undang-undang PKS segera dibentang di Parlimen

UNICEF dan MASW hari ini menyeru agar pembentangan Rang Undang-undang Profesion Kerja Sosial (PKS) disegerakan ketika sidang Parlimen mesyuarat ketiga minggu depan.
UNICEF dan MASW hari ini menyeru agar pembentangan Rang Undang-undang Profesion Kerja Sosial (PKS) disegerakan ketika sidang Parlimen mesyuarat ketiga minggu depan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Persatuan Pekerja Sosial Malaysia (MASW) hari ini menyeru agar pembentangan Rang Undang-undang Profesion Kerja Sosial (PKS) disegerakan ketika sidang Parlimen mesyuarat ketiga minggu depan.

Ketua Perlindungan Kanak-Kanak UNICEF Malaysia, Saskia Blume berkata, penggubalan rang undang-undang itu, akan memperakui dan menyokong peranan kerja sosial sambil memastikan rakyat Malaysia mendapat akses kepada pekerja sosial terbaik memandangkan pekerja sosial terlatih secara profesional adalah penting dalam pelbagai tetapan.

Beliau berkata, kekurangan peraturan menghalang potensi pekerja sosial untuk menyumbang secara berkesan kepada masyarakat, justeru, rang undang-undang itu akan memastikan kualiti dan akauntabiliti kerja sosial.

"Pekerja sosial terlatih diperlukan kerana terdapat 18,750 kes penderaan kanak-kanak direkodkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Polis Diraja Malaysia pula melaporkan 13,529 kes keganasan rumah tangga antara 2020 dan 2022,” katanya pada taklimat media bersempena dengan kempan Social Workers: Heroes Among Us di sini.

Blume berkata, kerja sosial tidak dikawal di Malaysia berbanding di negara ASEAN lain seperti Filipina, Thailand, Singapura dan Indonesia, selain Malaysia hanya mempunyai seorang pekerja sosial untuk setiap 8,576 orang, berbanding Singapura (1:3,448), United Kingdom (1: 3,025) dan Australia (1:490).

Sementara itu, Setiausaha MASW, Amy Bala berkata, masyarakat umum masih tidak memahami maksud sebenar pekerja sosial, dengan kebanyakan rakyat Malaysia melihat mereka sebagai pekerja amal.

Justeru, beliau berkata, rang undang-undang PKS dapat mewujudkan kesedaran, membolehkan orang ramai mengiktiraf pekerja sosial profesional apabila meminta bantuan dan menyatakan dengan jelas piawaian profesional dan akibat ketidakpatuhan untuk memastikan keselamatan awam.

"Bagi pekerja sosial, rang undang-undang itu memberikan status profesional dan menggalakkan imbuhan yang sesuai,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kerja sosial merupakan satu disiplin akademik yang mantap di 12 institusi pengajian tinggi di negara ini yang menawarkan program diploma ke PhD, namun tidak semua yang bekerja dalam bidang kerja sosial dilatih secara profesionak kerana kurangnya peraturan.

Amy juga yakin kerajaan akan membentangkan dan meluluskan rang undang-undang itu tidak lama lagi untuk memperakui peranan kerja sosial dalam pembangunan masyarakat selaras dengan visi kerajaan Madani.

Rang undang-undang PKS yang dulunya dikenali sebagai Rang Undang-undang Pekerja Sosial telah diluluskan oleh Kabinet pada 2010 dan kini dalam semakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. - Bernama