Nafas yakin diberi kepercayaan jadi pembuat, pembekal baja bersubsidi

Nafas yakin akan terus diberi kepercayaan oleh kerajaan untuk terlibat dalam agenda pembuatan dan pembekalan baja bersubsidi kepada golongan pesawah di negara ini. - Gambar hiasan
Nafas yakin akan terus diberi kepercayaan oleh kerajaan untuk terlibat dalam agenda pembuatan dan pembekalan baja bersubsidi kepada golongan pesawah di negara ini. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) yakin akan terus diberi kepercayaan oleh kerajaan untuk terlibat dalam agenda pembuatan dan pembekalan baja bersubsidi kepada golongan pesawah di negara ini.

Pengurus Besarnya, Muhammad Faris Arriffin berkata, selain memiliki kilang pemprosesan baja di Gurun, Kedah dengan kapasiti pengeluaran mencecah 360,000 tan setahun, Nafas juga mempunyai pelan strategik menangani isu kelewatan pembekalan baja subsidi yang diberi perhatian serius oleh kerajaan sebelum ini.

Beliau berkata, masalah kelewatan baja dihantar ke Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) telah ditangani melalui pelaksanaan inisiatif "Zero Late Delivery”, satu langkah proaktif ke arah mentransformasikan pergerakan antaranya agar stok baja tersedia terus dihantar ke PPK.

"Bagi memastikan keterjaminan makanan dalam aspek pembuatan dan pembekalan baja bersubsidi berlangsung secara holistik, kami berharap Nafas terus diberi kepercayaan sebagai 'rakan penyelesaian' kepada kerajaan dalam agenda penting ini.

"Dengan pengalaman lebih 40 tahun dalam aktiviti pembuatan dan pembekalan baja bersubsidi kepada pesawah, kita harap terus dapat berperanan dalam meningkatkan kapasiti pengeluaran padi melalui bekalan bantuan input pertanian berkualiti, mencukupi dan sampai mengikuti jadual penanaman padi oleh pesawah,” katanya semasa menjadi tetamu rancangan Bicara Naratif terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada Isnin.

Turut serta dalam program yang membincangkan 'Peranan Nafas Dalam Keterjaminan Makanan Negara' itu ialah Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Aimi Jusoh.

Sementara itu, Aimi berkata, situasi kekurangan bekalan baja pernah dihadapi pada suku pertama 2022 diyakini tidak akan berulang selepas kilang Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd (MNFSB) yang terlibat dalam proses pembuatan pelbagai jenis baja bagi skim subsidi kerajaan oleh Nafas di Gurun berjaya meningkatkan kapasiti pengeluarannya.

"Pada waktu itu, kami berdepan kenaikan kos harga bahan mentah bagi pembuatan baja serta perkhidmatan penghantaran barang yang berlipat kali ganda, memaksa pelbagai langkah dilaksana bagi menangani situasi ekonomi global akibat krisis antara Ukraine dan Rusia.

Artikel Berkaitan:

"Melalui beberapa perancangan dibuat, kami berjaya keluar daripada kemelut itu dan kembali membekalkan baja mencukupi mengikut jadual dan masa diperlukan pesawah dan Alhamdulillah, ketika ini MNFSB mempunyai lebihan stok atau stok tersedia 33,000 tan yang boleh dibekalkan kepada pesawah pada bila-bila masa,” katanya.

Berdasarkan kemampuan itu, Aimi berkata, Nafas bersedia untuk terus dilantik oleh kerajaan menjadi pembekal baja subsidi kepada pesawah di seluruh negara.

Jun lepas, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dilapor berkata, kerajaan yakin dengan kemampuan Nafas dan tidak bermasalah ditawarkan dengan kontrak baharu membekalkan baja subsidi kepada pesawah di negara ini, selepas kontrak pembekalan semasa tamat akhir tahun ini. - Bernama