Jurugambar wanita rugi RM18,800 ditipu kekasih

Seorang jurugambar wanita mengalami kerugian RM18,800 gara-gara ditipu individu menyamar sebagai ahli perniagaan. - Foto hiasan/123RF
Seorang jurugambar wanita mengalami kerugian RM18,800 gara-gara ditipu individu menyamar sebagai ahli perniagaan. - Foto hiasan/123RF
A
A
A

SERDANG - Seorang jurugambar wanita mengalami kerugian sebanyak RM18,800 gara-gara ditipu seorang individu menyamar sebagai ahli perniagaan yang dikenalinya menerusi media sosial.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, mangsa berumur 36 tahun itu mengenali suspek menerusi Twitter sejak 21 Jun lalu.

"Perkenalan singkat antara mangsa dan suspek seterusnya membawa pertemuan di Puchong dan beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur.

"Suspek menyatakan dirinya merupakan ahli perniagaan di sebuah syarikat minyak di Sarawak serta mula menjalinkan hubungan rapat bersama mangsa," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Katanya, suspek kemudian mula mendapatkan kepercayaan mangsa apabila mahu meminjam wang disebabkan mempunyai masalah perniagaan.

"Siasatan mendapati mangsa telah 15 kali menyerahkan wang miliknya kepada suspek dengan nilai keseluruhan berjumlah RM18,800.

"Bagaimanapun, identiti sebenar suspek terbongkar ketika mangsa bercuti bersama dengan suspek pada 29 September lalu selain semakan dilakukan mangsa mendapati suspek sebelum ini pernah menipu perempuan yang lain untuk menjadi kekasih," katanya.

Menurutnya, laporan yang dibuat mangsa kemudian membawa kepada tangkapan ke atas suspek di sebuah pusat peranginan di Cherating, Pahang.

Artikel Berkaitan:

"Suspek berumur 44 tahun itu diberkas sepasukan anggota polis sebelum diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang.

"Suspek kini direman lima hari untuk siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.