Waspada individu menyamar pegawai polis minta sumbangan

Suspek juga menggunakan gambar profil beruniform pegawai kanan polis.
Suspek juga menggunakan gambar profil beruniform pegawai kanan polis.
A
A
A

BENTONG - Polis Bentong meminta orang ramai berwaspada dengan panggilan palsu susulan tindakan seorang individu yang menyamar sebagai 'pegawai kanan polis' bagi menjalankan aktiviti penipuan untuk memohon sumbangan untuk program melibatkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar memberitahu, pihaknya menerima laporan polis pada Ahad berkaitan panggilan telefon dan hantaran WhatsApp dari seorang lelaki yang menyamar sebagai 'Tuan Nik' atau 'Tuan Syukri' menggunakan nombor telefon 019-5673346 dan 011-72394318.

Menurutnya, suspek juga menggunakan gambar profil beruniform pegawai kanan polis.

"Suspek menggunakan nombor akaun bank Ambank (8881045756758), CIMB Bank, (8605022525) serta Maybank (111011261247) untuk memohon sumbangan dari orang awam untuk program melibatkan IPD Bentong.

"Sasaran suspek adalah ahli-ahli perniagaan sekitar daerah Bentong," kata beliau dalam kenyataan pada Ahad.

Ujar beliau, susulan kes tersebut, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Bentong telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan terhadap individu yang menyamar sebagai pegawai kanan polis dengan niat hendak menipu orang awam serta meminta derma berupa wang tunai bagi menganjurkan program-program peringkat IPD Bentong.

"Orang ramai dinasihatkan sekiranya menerima panggilan palsu mahu pun hantaran WhatsApp tersebut agar tidak terpedaya dengan panggilan sedemikian yang cuba menjatuhkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya IPD Bentong.

"Kita memohon kerjasama orang ramai sekiranya menerima panggilan tersebut mahu pun mesej menerusi WhatsApp bagi tujuan mengutip derma bagi IPD Bentong segera menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) IPD Bentong di talian 09-2222222 atau mana-mana balai polis berdekatan untuk tindakan lanjut.

"Pihak polis juga memohon orang ramai yang menjadi mangsa penipuan dalam kes ini tampil membuat laporan polis kerana berdasarkan maklumat yang kita dapat ramai telah menjadi mangsa tetapi tidak buat laporan polis," jelas Zaiham.