Hati-hati terima tawaran universiti menerusi media sosial

Mohamed Khaled - Foto Bernama
Mohamed Khaled - Foto Bernama
A
A
A

KOTA TINGGI – Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dinasihatkan agar berhati-hati dengan tawaran memasuki universiti awam tempatan yang diterima menerusi aplikasi WhatsApp, Telegram atau lain-lain platform media sosial ketika ini berikutan keputusan permohonan memasuki universiti belum dikeluarkan.

Justeru, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menasihatkan lepasan SPM yang mendapat tawaran sedemikian perlu membuat semakan bagi mendapatkan pengesahan daripada pihak universiti agar tidak menjadi mangsa penipuan.

"Kita sedar ada banyak tawaran (kemasukan UA) dalam pelbagai medium. Universiti awam dan politeknik belum ada keluarkan apa-apa tawaran kerana pihak UPU (Unit Penempatan Universiti) masih lagi dalam proses untuk memilih permohonan yang dikemukakan.

"Apabila sampai masa nanti, kita akan umumkan secara rasmi. Jadi saya harap pelajar (lepasan SPM) berwaspada jika menerima tawaran seperti itu.

"Kalau institusi swasta, itu mungkin cara mereka. Tapi, kalau berlaku penipuan atau penyamaran dan bukan tawaran sebenar daripada institusi pengajian itu, pelajar boleh buat aduan. Kalau diminta buat sebarang bayaran seperti yuran atau sebagainya, boleh hubungi terus universiti itu untuk tanya mengenai mesej yang diterima," katanya ketika mengadakan lawatan ke Felda Bukit Easter di sini, pada Sabtu.

Sementara itu, mengulas gesaan daripada Presiden Angkatan Mahasiswa Universiti Malaya (UM), Nur Nazirah Abdullah agar yuran pengajian wajar dikurangkan sehingga 50 peratus sekiranya sistem pembelajaran hibrid dan jadual anjal dilaksanakan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), Mohamed Khaled berkata, ia perlu dilihat dari segi keperluan pelajar itu sendiri terutama melibatkan akses fasiliti yang akan digunakan sekiranya kaedah pembelajaran berkenaan dilaksanakan kelak.

“Hibrid atau anjal ini adalah satu bidang atau pendekatan yang sebenarnya satu pilihan, bukan diwajibkan untuk pelajar ambil... kalau nak empat tahun, ambil empat tahun, kalau anjal dia boleh ambil anjal.

“Tapi, ia hanya meliputi beberapa subjek yang sesuai dilakukan anjal, bukan semua. Tak banyak, mungkin dua atau tiga sahaja macam Sains Sukan, IT (Teknologi Maklumat). Macam IT, industri nak dipendekkan, tak ada sebab nak sampai empat tahun supaya pelajar boleh keluar cepat.

"Saya sudah meminta supaya pihak PTPTN (Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) melihat sejauh mana perlu diubah suai pinjaman yang perlu. Kita pertimbangkanlah," katanya.