Tragedi Kampung Iboi: Mangsa harap tuntutan baik pulih disegerakan

Mahdzir (empat dari kiri) meninjau keadaan lokasi kejadian banjir aliran puing di Kampung Iboi, Baling pada Selasa.
Mahdzir (empat dari kiri) meninjau keadaan lokasi kejadian banjir aliran puing di Kampung Iboi, Baling pada Selasa.
A
A
A

BALING - Mangsa tragedi banjir puing Kampung Iboi mengharapkan kerajaan negeri dan Persekutuan dapat menyegerakan kesemua 32 tuntutan kerja-kerja baik pulih infrastruktur yang rosak akibat bencana itu tahun lalu.

Ketua Kampung Iboi, Nor Mohamad Che Hussain berkata, sebanyak 32 tuntutan dikenal pasti dan diharap dapat diberi perhatian bagi memberi keselesaan sekali gus menjamin keselamatan penduduk.

Menurutnya, antara yang perlu diberi perhatian adalah mewartakan kawasan tadahan air di kaki Gunung Inas yang merupakan keperluan asas penduduk kampung.

"Sekiranya ia tidak diwartakan sebagai kawasan tadahan air, kami bimbang ia diceroboh dan menyebabkan bekalan air masyarakat terputus," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Memperingati Genap Setahun Derita Rakyat Iboi (4 Julai 2022-4 Julai 2022), di Jambatan Bailey dekat sini pada Selasa.

Hadir sama, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar dan mantan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Selain itu, Nor Mohamad berkata, kemudahan lain yang perlu diberi perhatian segera adalah penurapan jalan, pemasangan tiang elektrik dan membaik-pulih kawasan perkelahan Lata Chelak yang menjadi tumpuan ramai sebelum ini.

Katanya, pemasangan sistem amaran awal bencana di kaki Gunung Inas juga perlu dipasang segera kerana bimbang kejadian berulang berikutan kebanyakan penduduk masih trauma dengan tragedi terbabit.

"Selain itu, masih terdapat rumah yang rosak akibat tragedi belum dibaik pulih termasuk bekalan dari Syarikat Air Darul Aman (SADA) yang sering terganggu,"katanya.

Selain itu, Mahdzir yang juga merupakan Pengerusi Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah berkata, tuntutan itu akan dikemukakan kepada Perdana Menteri dan juga kementerian terlibat untuk tindakan segera.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, berdasarkan pengalamannya sebagai mantan Menteri Besar Kedah dan mantan Menteri Pembangunan Luar Bandar, kesemua senarai itu sepatutnya dapat disiapkan dalam tempoh setahun.

"Contohnya lampu jalan, kalau ada koordinasi negeri dan pusat, panggil semua yang terbabit, tetapkan tarikh, buka tender, serahkan urusan kepada Pegawai Daerah...tapi kalau berselerak macam ni (kerajaan negeri) tak tahu siapa yang pegang.

"Saya tak kata Menteri Besar Kedah sekarang ni lepas tangan..cuma saya tak tahu apa yang dia buat," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan tragedi banjir aliran puing Kampung Iboi mengorbankan tiga nyawa setelah mangsa dihanyutkan bersama rumah dalam kejadian 4 Julai tahun lalu