Kaedah beli minyak masak timbulkan pelbagai persoalan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KAEDAH pembelian minyak masak peket yang dijangka dilaksanakan pada tahun depan dengan menunjukkan kad pengenalan (MyKad) telah menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan masyarakat.

Ia susulan pengumuman Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkenaan kaedah pembelian minyak masak peket kepada kumpulan sasar dengan menggunakan mekanisme pengenalan diri (ID).

Menurut Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh pembelian menggunakan kad pengenalan dan aplikasi MySejahtera tidak digunakan kerana keperluan keluarga tidak sama dengan peniaga mikro.

Oleh itu, terdapat cadangan agar kerajaan menggunakan aplikasi seperti Grab, kad pengenalan digital, pautan ID khas yang bersambung dengan MyKad dan tidak kurang juga cadangan kerajaan memberikan wang tunai untuk membeli barangan keperluan.

Walau bagaimanapun, sekiranya kerajaan berhasrat ingin mencetak ID khas untuk pembelian minyak masak, perkara itu dikhuatiri akan memberi kesan terhadap pencerobohan data dan penjualan maklumat diri yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Kebocoran data yang sedia ada juga masih tidak diselesaikan apatah lagi kaedah pelaksanaan pembelian minyak masak juga masih kurang jelas pelaksanaannya.

Sebelum ini, pihak KPDN menjamin isu tersebut tidak bersifat jangka panjang, namun masalah itu sering berlaku setiap tahun tanpa mengira individu atau parti yang mentadbir Malaysia.

Kerajaan perlu memandang serius perkara berkenaan kerana dalam keadaan ekonomi yang kurang baik ia memberi tekanan mental, fizikal dan emosi kepada individu untuk menyelesaikan komitmen serta tanggungjawab sedia ada.

Artikel Berkaitan:

Tekanan kos sara hidup yang semakin tinggi dan kekurangan bekalan bahan asas seperti beras, minyak dan gula seringkali menjadi polemik masyarakat yang mempunyai bilangan ahli keluarga yang ramai.

Rakyat mahukan penyelesaian yang tuntas agar memastikan bahan makanan seperti gula, beras dan minyak masak tidak terputus atau habis serta-merta di pasaran.

Sekiranya tindakan mitigasi oleh kerajaan dilaksanakan sebelum tahun depan, ia mampu memberi kelegaan kepada orang ramai terutama golongan B40.