'Dakwaan ubah suai tandas awam jadi milik persendirian tidak benar'

Seorang pengguna TikTok menunjukkan lokasi yang didakwa tandas awam diubah suai dengan disimen dan dikonkrit.
Seorang pengguna TikTok menunjukkan lokasi yang didakwa tandas awam diubah suai dengan disimen dan dikonkrit.
A
A
A

SEREMBAN - Tandas awam yang didakwa diubah suai dan dijadikan tandas milik persendirian di sebuah bangunan perniagaan di Nilai 3 di sini, adalah tidak benar.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban, Datuk Masri Razali berkata, bangunan berkenaan berstatus pemilikan berstrata yang diuruskan oleh ejen pengurusan.

"Maka kemudahan itu adalah milik bersama pemilik-pemilik petak (peniaga) yang ada dalam bangunan tersebut dan ia bukanlah tandas awam seperti yang didakwa dalam video tular.

"Terdapat pelbagai jenis perniagaan di situ maka ramai pelanggan sebelum ini turut menggunakan kemudahan sama mengikut budi bicara peniaga, bagaimanapun kita ada sediakan tandas awam yang berada tidak jauh dari bangunan itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Sebelum ini, tular sebuah video di aplikasi TikTok mengenai sebuah tandas awam di Nilai 3 didakwa 'diambil alih' oleh sebuah kedai sebelum dijadikan tandas untuk kegunaan persendirian di lokasi berkenaan.

Perkara itu dikongsikan seorang lelaki yang videonya mendapat lebih 150,000 tonton dengan 1,228 komen.

Berdasarkan video berdurasi 2:37 minit itu, lelaki itu mendakwa mendapat aduan daripada peniaga-peniaga di Nilai 3 berhubung perkara tersebut.

"Apabila tandas awam digunakan semua pengunjung ke Nilai 3 ini sekarang disimen, diaorang (pihak berkenaan) buh (letak) konkrit dan dijadikan untuk kegunaan mereka sendiri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dia kemudiannya mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) memberi penjelasan susulan ia membabitkan hak rakyat di negara ini terhadap kemudahan awam yang disediakan kerajaan.

Dalam pada itu, Masri berkata, tidak menjadi masalah sekiranya pihak pengurusan atau pemilik untuk melakukan kerja ubah suai bangunan di lokasi.

"Tetapi sama ada mereka ada kelulusan ataupun tidak, itu kita akan semak, namun ia bukanlah kesalahan yang diuar-uarkan seperti dalam video berkenaan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!