Thailand: Suspek insiden tembakan guna pistol yang diubah suai

Remaja lelaki yang menembak mati dua mangsa dan mencederakan lima yang lain di Siam Paragon Mall di Bangkok menggunakan pistol tiruan yang telah diubah suai. - Foto AFP
Remaja lelaki yang menembak mati dua mangsa dan mencederakan lima yang lain di Siam Paragon Mall di Bangkok menggunakan pistol tiruan yang telah diubah suai. - Foto AFP
A
A
A

BANGKOK - Remaja lelaki yang menembak mati dua mangsa dan mencederakan lima yang lain di Siam Paragon Mall di Bangkok menggunakan pistol tiruan yang telah diubah suai.

Asisten Komisioner Polis Diraja Thailand, Pol Lt Jen Samran Nualma berkata, remaja berkenaan yang berusia 14 tahun ditahan kira-kira sejam selepas insiden berlaku.

"Dia menggunakan pistol plastik yang diubah suai untuk menembak peluru sebenar.

"Polis sedang mengkaji semula peraturan dan undang-undang berkaitan kawalan senjata, termasuk peraturan mengawal bahan yang digunakan untuk membuat senjata,” katanya pada sidang media di sini pada Rabu.

Remaja itu yang mempunyai sejarah masalah kesihatan mental, menembak mati seorang warga China dan Myanmar, serta mencederakan lima yang lain dalam kejadian yang berlaku pada 4.20 petang Selasa.

Mangsa yang cedera terdiri masing-masing seorang warga Laos dan warga China, manakala selebihnya rakyat tempatan.

Sementara itu, Menteri Pelancongan Sudawan Wangsuphakijkosol berkata, insiden tembakan yang berlaku di destinasi pelancongan ikonik di Thailand itu merupakan insiden terpencil tetapi membimbangkan.

"Agensi penguat kuasa akan meningkatkan langkah keselamatan termasuk pemeriksaan senjata di kawasan awam dan tempat pelancongan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pusat beli-belah itu dibuka semula untuk perniagaan hari ini dan alat pengesan logam telah dipasang di pintu masuk.

Pengawal keselamatan turut menjalankan pemeriksaan terhadap beg pelanggan di semua pintu masuk.

Perdana Menteri Srettha Thavisin turut berada di pusat beli-belah itu untuk merasmikan "SCBX NEXT TECH" pada Rabu.

Beliau memberi jaminan bahawa kerajaan komited untuk mencegah kejadian seperti itu daripada berulang.

"Ia adalah peristiwa force majeure (luar kawalan). Bagaimanapun, saya percaya pegawai kerajaan dan Siam Paragon Mall telah mencuba sedaya upaya untuk meminimumkan kerosakan ini.

"Kami berharap kejadian ini tidak berulang. Kerajaan akan memberi perhatian kepada pelbagai langkah pencegahan,” tulisnya di X.

Srettha berkata, kerajaan akan mengetatkan kawalan penjualan senjata api dalam talian untuk menghalang kanak-kanak bawah umur daripada mengaksesnya.

Sementara itu, pada sidang akhbar berasingan, Komander Bahagian Polis Metropolitan, Pol Mej Jen Nakarin Sukontawit, berkata suspek menghadapi lima pertuduhan, termasuk pembunuhan terancang dan memiliki senjata api tanpa permit.

Dia juga didakwa dengan cubaan membunuh, membawa senjata api di khalayak ramai tanpa permit dan menembak di khalayak ramai tanpa permit.

"Polis boleh menimbang mengenakan pertuduhan tambahan ke atas peluru yang ditemukan selepas menggeledah bilik suspek di Lak Song selain senapang BB serta peluru,” katanya.

Nakarin berkata, polis sedang menyiasat ibu bapa remaja itu untuk melihat sama ada mereka melanggar Akta Perlindungan Kanak-kanak.

Media tempatan melaporkan bahawa ibu bapa remaja itu mungkin melanggar Seksyen 429 Kanun Sivil dan Komersial.

Remaja itu telah dipindahkan dari mahkamah juvana ke pusat tahanan hari ini dan dia tidak dijamin oleh ibu bapanya. - Bernama