PRK Pelangai: Kempen calon Bebas cecah 70 peratus

Haslihelmy (kanan) ketika menyantuni pengundi di Agro Chemomoi.
Haslihelmy (kanan) ketika menyantuni pengundi di Agro Chemomoi.
A
A
A

KUANTAN - Calon Bebas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Haslihelmy DM Zulhasli menumpukan kempen kepada usaha mendekati golongan pengundi muda sebelum hari pengundian pada pilihan raya kecil (PRK), Sabtu ini.

Beliau berkata, setakat ini kempen sudah meliputi hampir 70 peratus dan akan mempergiat aktiviti menyantuni pengundi dalam tempoh lima hari lagi.

"Oleh kerana saya tiada jentera, saya ambil pendekatan berkempen dari rumah ke rumah di setiap kawasan di DUN Pelangai. Rata-rata mereka positif memberikan sokongan penuh kepada saya sebagai calon Bebas.

"Berbaki lima hari lagi, saya akan terus mendekati pengundi muda kerana golongan itu dianggap sebagai faktor penentu kemenangan. Saya juga berharap mereka boleh menerima pemimpin calon muda seperti saya," katanya pada Isnin.

Sebelum itu, beliau beramah mesra bersama pengundi di Agro Chemomoi.

Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP) itu menjelaskan sepanjang kempen banyak aduan yang diterima termasuk isu pembangunan DUN Pelangai.

Jelasnya, rakyat mengeluh apabila banyak keperluan rakyat gagal dilaksanakan Barisan Nasional (BN) sejak puluhan menguasai kerusi itu.

Haslihelmy menambah, masalah yang diterima berkaitan isu jalan, ketiadaan lampu di jalan utama, permohonan tanah individu lebih 20 tahun dan tanah RTK kumpulan generasi muda.

Artikel Berkaitan:

"Ini antara masalah yang gagal diatasi oleh kerajaan BN. Namun, jika saya dipilih, insya-ALLAH saya tidak akan mensia-siakan pengundi di Pelangai," ujarnya.

PRK Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Haslihelmy dengan calon BN, Datuk Amizar Abu Adam dan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat.

Pada 7 Oktober nanti, seramai 16,456 pengundi bakal menunaikan tanggungjawab bagi membuang undi.