13 kes kematian akibat denggi di Johor

Gambar kecil: Ling Tian Soon
Gambar kecil: Ling Tian Soon
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak kumulatif 13 kes kematian akibat denggi dicatatkan di Johor sehingga minggu Epid ke-39 yang berakhir 30 September lalu.

Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, secara keseluruhan sebanyak 7,776 kes denggi dilaporkan mulai awal tahun hingga akhir September lalu di Johor.

"Bagi Minggu Epid ke-39 sahaja, sebanyak 233 kes dicatat dan membabitkan satu kematian.

"Daripada jumlah kes denggi yang dilaporkan sepanjang Minggu Epid ke-39, sebanyak 86 kes iaitu 36.9 peratus dilaporkan dari lokaliti wabak dan 147 kes (63.1 peratus) dari lokaliti bukan wabak," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, daerah yang melaporkan kes tertinggi adalah Johor Bahru menyumbang sebanyak 161 kes iaitu 69.1 peratus diikuti Kulai iaitu 41 kes atau 17.6 peratus.

Di Kluang katanya, mencatatkan enam kes (2.6 peratus), Muar dan Kota Tinggi masing-masing 5 kes (2.1 peratus), Batu Pahat dan Segamat masing-masing empat kes (1.7 peratus), Tangkak dan Pontian tiga kes (1.3 peratus) manakala Mersing satu kes (0.4 peratus).

"Pada Minggu Epid ke-39, 33 lokaliti wabak baharu dilaporkan di Johor iaitu di daerah Johor Bahru sebanyak 29 kes (87.9 peratus) dan Kulai sebanyak empat kes (12.1 peratus)," katanya.

Beliau berkata, jumlah terkumpul lokaliti wabak di Johor sehingga Minggu Epid ke-39 adalah 990 berbanding 276 dalam tempoh yang sama pada tahun lalu iaitu peningkatan 259 peratus.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, aktiviti pemusnahan tempat pembiakan terus dijalankan oleh anggota kesihatan dalam dan luar rumah.

"Penemuan tempat pembiakan serta tempat berisiko pembiakan dalam rumah menunjukkan masyarakat masih belum peka kepada aktiviti pembersihan dan pemusnahan tempat berisiko untuk pembiakan nyamuk Aedes," katanya.

Menurutnya, ativiti penguatkuasaan yang dijalankan mencatat 4,373 kompaun dengan nilai kompaun sebanyak RM2.1 juta.

Daripada jumlah tersebut, 62.6 peratus membayar kompaun, kata Tian Soon.

habis