UMK terima 9 OKU, 11 Orang Asli


Suasana hiba ibu bapa memeluk anak yang bakal ditinggalkan untuk menyambung pengajian.
Suasana hiba ibu bapa memeluk anak yang bakal ditinggalkan untuk menyambung pengajian.
A
A
A

KOTA BHARU - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menerima kemasukan penuntut baharu dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) seramai sembilan individu dan 11 anak Orang Asli bagi melanjutkan pengajian untuk sesi akademik 2023/2024 di ketiga-tiga kampus universiti itu di negeri ini pada Isnin.

Jumlah OKU termasuk cacat penglihatan dan Orang Asli berkenaan ialah sebahagian daripada keseluruhan 3,121 individu yang diterima masuk ke UMK untuk menyambung pengajian dalam pelbagai bidang di peringkat ijazah.

Naib Canselor UMK, Profesor Datuk Dr Razli Che Razak berkata, UMK mencapai sasaran lebih 3,000 kemasukan pelajar di kampus Bachok, Jeli dan Kota Bharu bagi sesi akademik berkenaan.

Katanya, daripada jumlah tersebut, seramai 948 penuntut lelaki manakala 2,173 wanita mendapat peluang untuk melanjutkan pengajian di UMK.

“Proses pendaftaran berjalan lancar melibatkan penuntut-penuntut termasuk kalangan OKU dan Orang Asli suku Temuan yang datang antaranya dari Pahang serta Negeri Sembilan bagi mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengajian Warisan di Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) UMK.

Kegembiraan ibu bapa menghantar anak masing-masing ke UMK.
Kegembiraan ibu bapa menghantar anak masing-masing ke UMK.

“Pihak kami menerima maklum balas yang positif daripada ahli keluarga penuntut yang teruja melihat anak masing-masing berjaya menyambung pengajian di UMK,” katanya di sini, pada Isnin.

Menurut beliau, jumlah kemasukan penuntut itu dijangka meningkat berikutan proses pendaftaran pelajar masih berlangsung dan kaunter dibuka sehingga malam bagi memudahkan urusan pelajar yang tinggal jauh dari Kelantan datang mendaftar.

Artikel Berkaitan:

Kata Dr Razli, kesemua mereka akan menjalani Minggu Mesra Mahasiswa (3M) selama tiga hari sehingga 4 Oktober ini bagi menyesuaikan diri di universiti itu.

Dalam pada itu, UMK turut menyampaikan sumbangan kepada penuntut baharu kalangan B40 dan OKU bagi meringankan bebanan mereka.

Dr Razli (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada OKU penglihatan yang baharu mendaftar ke UMK.
Dr Razli (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada OKU penglihatan yang baharu mendaftar ke UMK.

“Sumbangan ini ialah inisiatif pihak universiti untuk penuntut lebih bersemangat belajar walaupun tinggal jauh dari keluarga masing-masing.

“Pihak universiti juga mengalu-alukan kedatangan mereka bagi melahirkan lebih ramai golongan ilmuan termasuk daripada kalangan OKU dan Orang Asli,” kata beliau.