Bantuan keperluan asasi MAIWP naik RM300 sebulan

Mohd Na’im (dua dari kanan) beramah mesra bersama penerima pada Program Santunan Kasih Asnaf MAIWP di Perumahan Awam Sri Kota, Bandar Tun Razak di sini pada Isnin.
Mohd Na’im (dua dari kanan) beramah mesra bersama penerima pada Program Santunan Kasih Asnaf MAIWP di Perumahan Awam Sri Kota, Bandar Tun Razak di sini pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan menaikkan bantuan keperluan asasi daripada RM150 kepada RM300 sebulan bermula tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, kenaikan itu melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM108 juta setahun.

"Jumlah (bantuan keperluan asasi) ini daripada RM150 kepada RM300 dinaikkan sekali ganda kepada penerima," katanya ketika ditemui pada Program Santunan Kasih Asnaf MAIWP di Perumahan Awam Sri Kota, Bandar Tun Razak di sini pada Isnin.

Mohd Na’im berkata, bantuan keperluan itu dinaikkan berikutan bebanan kos hidup semakin tinggi selain ramai yang hilang pekerjaan.

"Sudah tentu ini memberi kesan berterusan kepada mereka yang terjejas dan sebab itu kita berharap kutipan zakat terus meningkat," jelas beliau.

Sehubungan itu, katanya, beliau berharap syarikat dan individu korporat diharap dapat menyumbang dan membayar zakat agar lebih ramai rakyat beragama Islam dapat terus dibantu.

"Tahun ini sasaran kita hendak mengutip RM1 bilion dan lebih ramai lagi bermurah hati dan melaksanakan tanggungjawab dengan menunaikan zakat.

"Jumlah kenaikan bantuan (bulanan) golongan asnaf ini dapat ditampung melalui duit zakat yang dibayar nanti," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai program itu, Mohd Na’im berkata, seramai 200 penerima bantuan kewangan bulanan menerima tambahan bantuan keperluan asasi sebanyak RM150 sebulan yang akan dikreditkan melalui e-wallet.

Jelas beliau, program yang mula dilancarkan pada Januari tahun lalu sehingga Julai lalu itu merekodkan seramai 21,898 asnaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah menerima manfaat dengan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM30.45 juta.

"Ini merupakan tranformasi teknologi digital dalam pengagihan zakat melalui mekanisme agihan zakat tanpa tunai (cashless) kepada golongan asnaf.

"Mereka (asnaf) boleh membuat pembayaran barangan keperluan makanan melalui QR Code di aplikasi Boost di pasar raya terpilih antaranya Mydin, Sam Nu Sentral, Labuan Supermarket dan lain-lain lagi.

"Selain itu, asnaf juga boleh membuat pembelian di Lori Bergerak Mygrocer pada setiap hari di PPR sekitar Kuala Lumpur mengikut jadual yang ditetapkan bermula jam 8.30 pagi sehingga 1 petang yang mana inisiatif ini membantu asnaf mendapatkan bahan mentah harian seperti ayam, sayur dan sebagainya," tambah beliau.