Bicara kes Hafidz Roshdi cedera bekas isteri bermula 6 Februari tahun depan

Hafidz Roshdi
Hafidz Roshdi
A
A
A

KUALA KUBU BHARU - Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan dua hari bermula 6 Februari tahun depan untuk perbicaraan kes pelakon Hafidz Roshdi yang dituduh mencederakan bekas isterinya Mac lepas.

Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak sebagai majistret menetapkan tarikh itu semasa sebutan kes hari ini yang dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Asmaa’ Zamri dan peguam Datuk Akberdin Abdul Kader, mewakili Hafidz Roshdi atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi, 29.

"Mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan pada 6 dan 7 Februari tahun depan. Prosiding perbicaraan itu akan bermula pada jam 11 pagi,” kata Siti Fatimah.

Terdahulu, Asmaa’ memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan telah memfailkan representasi dan telah diserahkan kepada pendakwaan.

Akberdin mengesahkan pihaknya telah memfailkan representasi untuk menggugurkan pertuduhan dihadapi anak guamnya pada 28 September lepas.

Pada 13 Mac lepas, Hafidz mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya (ketika itu) Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, dengan menumbuk pipi kiri wanita itu sebanyak tiga kali sehingga luka, lebam dan bengkak.

Pelakon drama itu dituduh melakukan perbuatan berkenaan berhampiran susur keluar Tol Sungai Buaya di sini pada jam 3.22 pagi, 2 Mac lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum bagi sabitan di bawah Seksyen 323.

Artikel Berkaitan:

Pada 27 Julai lepas, Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam mengesahkan pasangan itu bercerai talak satu. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!