Penguatkuasaan dasar inovatif bendung rokok seludup perlu disokong

Malaysia merupakan antara negara yang mempunyai kelaziman rokok seludup tertinggi di dunia. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Yusoff)
Malaysia merupakan antara negara yang mempunyai kelaziman rokok seludup tertinggi di dunia. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Yusoff)
A
A
A

SHAH ALAM - Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi membanteras kegiatan jenayah berkaitan sindiket rokok seludup perlu diberi pertimbangan dan sokongan sepenuhnya oleh kerajaan serta agensi penguatkuasaan undang-undang negara.

Bekas Ketua Polis Sarawak, Datuk Dr Yusoff Nook berkata, undang-undang penyeludupan rokok dan minuman keras ketika ini dilihat kurang berkesan dalam membendung kegiatan itu.

“Malaysia merupakan antara negara yang mempunyai kelaziman rokok seludup tertinggi di dunia, enam daripada 10 rokok yang dijual tidak dikenakan cukai dan tidak mematuhi mana-mana undang-undang atau peraturan.

“Malangnya, ini bukan masalah baharu. Selama hampir sedekad, Malaysia telah kehilangan sejumlah besar wang dalam cukai tidak dikutip kepada jenayah ekonomi yang kini meningkat sebanyak RM5 bilion setahun,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau menjelaskan, terdapat kes di mana individu telah ditangkap beberapa kali kerana melakukan jenayah menyeludup tetapi masih bebas dan terus melakukan kegiatan berkenaan.

Ujarnya, ia jelas menunjukkan negara memerlukan undang-undang yang mempunyai lebih banyak komponen untuk menangani sindiket jenayah, terutamanya ketua dan dalang jenayah tersebut.

“Penggunaan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dan Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) boleh dijatuhkan kepada ketua sindiket jenayah ini.

“POCA memberikan kuasa kepada polis untuk menangkap dan menahan seseorang sehingga 60 hari tanpa pertuduhan atau perbicaraan, undang-undang yang ideal untuk digunakan terhadap dalang rokok seludup,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Yusuff, bagi AMLA pula, ia akan memberikan agensi penguatkuasaan undang-undang dan pendakwa raya kuasa penyiasatan yang luas, termasuk keupayaan untuk membekukan dan merampas hartanah mereka yang terlibat.

“Sebagai sebahagian daripada komuniti penguat kuasa undang-undang, saya amat kecewa melihat pegawai berdedikasi daripada agensi penguatkuasaan undang-undang kita mempertaruhkan nyawa dan anggota mereka untuk melakukan serbuan dan membuat tangkapan, bagaimanapun penjenayah dilepaskan tanpa disabitkan.

“Selain membanteras sindiket jenayah secara menyeluruh, undang-undang yang lebih teguh dan proaktif juga boleh meningkatkan semangat pegawai penguat kuasa undang-undang, meningkatkan integriti dan melindungi rakyat dengan lebih baik daripada kesannya,” tambahnya.

Katanya, penyediaan latihan merangkumi akauntabiliti dan tanggungjawab penguat kuasa kepada semua pegawai, termasuk polis, mengenai undang-undang berkaitan serta membina dan meningkatkan keyakinan adalah penting.

“Perokok tertarik dengan rokok seludup kerana ia jauh lebih murah berbanding produk sah. Margin terlalu lumayan untuk diabaikan oleh sindiket jenayah. Adalah penting bagi kerajaan untuk meneroka dasar untuk menangani permintaan rokok seludup yang murah.

“Jika kita boleh mencari jalan untuk membantutkan bekalan dan menangani faktor permintaan, isu rokok seludup akan menjadi sejarah,” ujarnya.