PPM rampas rokok seludup bernilai RM225,000

PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor merampas rokok seludup bernilai RM225,000 dalam serbuan di tebing sungai berhampiran pintu air Kampung Kok Keli, Tumpat pada Isnin.
PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor merampas rokok seludup bernilai RM225,000 dalam serbuan di tebing sungai berhampiran pintu air Kampung Kok Keli, Tumpat pada Isnin.
A
A
A

TUMPAT - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor merampas rokok seludup bernilai RM225,000 dalam serbuan di tebing sungai berhampiran pintu air Kampung Kok Keli, di sini pada Isnin.

Menurut PPM Wilayah Tiga dalam satu kenyataan, sekumpulan lelaki bertindak melarikan diri sejurus menyedari kehadiran anggota semasa serbuan dilakukan.

"Sebuah bot turut meluncur laju keluar dari kawasan tersebut dan pemeriksaan di lokasi menjumpai sejumlah kotak disyaki mengandungi rokok putih seludup," katanya pada Rabu.

Ujar kenyataan itu, PPM turut menjumpai beberapa buah motosikal yang digunakan suspek dan kesemua barangan rampasan dibawa balik ke Markas Operasi PPM Wilayah Tiga untuk tindakan lanjut.

"PPM sentiasa membuat rondaan di perairan dan daratan serta mengumpul risikan bagi membanteras aktiviti kontraban khususnya penyeludupan rokok yang tidak sah.

"PPM juga amat mengalu-alukan penyaluran maklumat daripada orang ramai yang menjadi mata dan telinga bagi membendung aktiviti penyeludupan," katanya.

Sebarang maklumat berkaitan jenayah maritim, orang ramai boleh menghubungi bilik gerakan PPM Wilayah Tiga, Pahang di Talian 09-513 7726.