PDRM belum terima permohonan rasmi daripada India

Ramli
Ramli
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) belum menerima sebarang permohonan rasmi dari pihak berkuasa India berkaitan lima rakyat negara ini yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram berjumlah Rs33 crore (RM18.6 juta).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, PDRM telah meminta maklumat lanjut berkaitan kes tersebut namun tidak belum menerima sebarang makluman.

"Setakat ini tiada permohonan secara rasmi daripada pihak berkuasa India berkaitan kes ini, bagaimanapun PDRM sentiasa memandang serius berhubung perkara ini dan kerjasama sentiasa terbuka sekiranya ada bantuan yang diperlukan," katanya ringkas kepada Sinar Harian pada Ahad.

Laporan media sebelum ini menyatakan Polis Gujarat, India sedang giat menjejaki lima individu dipercayai terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram di India.

Siasatan dilancarkan susulan kes sejumlah Rs33 crore didapati 'mengalir' daripada beribu-ribu akaun bank di dua daerah di Saurashtra ke Kuala Lumpur melalui aktiviti pengubahan wang haram.

Kes ini dikatakan berkaitan penipuan didalangi warga China yang menyaksikan seramai 1,175 mangsa di Gujarat terjerat dengan sindiket aplikasi pertaruhan bola sepak berasaskan skim ponzi.

Berikutan itu satu laporan maklumat pertama (FIR) baharu difailkan oleh polis Gujerat terhadap 15 individu, termasuk lima warga Malaysia terbabit.

Sindiket itu dituduh mengatur skim yang membabitkan penciptaan akaun bank palsu di daerah Rajkot dan Veraval bagi melakukan penipuan serta pengubahan haram terhadap wang diperoleh secara tidak sah melalui permainan dan pertaruhan dalam talian.

Artikel Berkaitan: