Mangsa Iboi mohon percepat pembinaan rumah fasa kedua

Keadaan rumah mangsa di Kampung Iboi yang tidak jauh dari tebing sungai. (Gambar kecil: Nor Mohamad, Ishak, Rahmah dan Mahmud)
Keadaan rumah mangsa di Kampung Iboi yang tidak jauh dari tebing sungai. (Gambar kecil: Nor Mohamad, Ishak, Rahmah dan Mahmud)
A
A
A

BALING - Mangsa banjir Iboi memohon kerajaan Persekutuan mempercepatkan projek pembinaan fasa kedua selepas rumah mereka dikatakan tidak selamat lagi diduduki.

Mahmud Mat Rejab, 78, berkata, selagi rumah baharu yang dirancang kerajaan di Kampung Bok Bak belum siap, dia bersama isteri, Halipah Ahmad, 71, terpaksa tinggal di rumah pusaka biarpun sering dinaiki air disebabkan kedudukannya tidak jauh dari tebing sungai.

Menurutnya, walaupun trauma terbayang kejadian kepala air apabila rumahnya dinaiki air mencecah empat meter tahun lalu, dia sentiasa berdoa dan bertawakal agar terhindar dari perkara tidak diingini.

"Nak buat macam mana, kena duduk juga walaupun risiko banjir sentiasa ada, sebab tak tahu nak ke mana, sebelum ini ada bayaran rumah sewa diberi oleh kerajaan, boleh sewa rumah, tetapi sekarang tidak lagi,"katanya.

Seorang lagi, Ishak Saad, 57, turut mengharapkan agar kerajaan memberi tumpuan kepada pembinaan rumah fasa kedua dengan segera memandangkan hakisan sungai semakin teruk.

Menurutnya, selain rumahnya dikategorikan berisiko berada dalam zon kuning, kerja-kerja di dusun yang diusahakan termasuk kebun getah di Lata Celak juga tidak dapat diteruskan berikutan terputus hubungan setelah titi runtuh akibat arus deras.

"Sekarang ini, rumah pun tak boleh duduk, kebun pun tak boleh pi sebab jalan rosak, pokok tumbang, tanah runtuh dan titi roboh akibat bencana kepala air 4 Julai 2022.

"Kami harap agar rumah yang akan dibina di Bok Bak segera siap bagi membolehkan kami memulakan hidup baharu serta tak perlu lagi bayar sewa rumah,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, ibu tunggal, Rahmah Din, 58, berkata, walaupun telah dikategorikan tidak selamat kerana tebing sungai makin terhakis, namun terpaksa kembali ke rumah asal memandangkan tidak mampu membayar sewa.

"Takut setiap kali hujan, bimbang air naik, tetapi duduk juga selagi tak boleh pindah,"jelasnya.

Sementara itu, Ketua Kampung Iboi, Nor Mohamad Che Hussain berkata, kerajaan perlu mempercepatkan pembinaan rumah fasa kedua yang akan dilaksanakan di Kampung Bok Bak berikutan keadaan mangsa yang trauma dan ketakutan setiap kali banjir.

"Melihat kepada situasi semasa, terdapat rumah yang berada di kedudukan agak tinggi juga kena banjir, kemungkinan jumlah yang perlu berpindah semakin bertambah, kita minta agensi berkaitan kaji semula.

"Saya mengharapkan agar perhatian serius diberikan kepada projek ini dengan harapan mereka dapat berpindah ke tempat selamat "katanya.

Keadaan Sungai Kupang di Kampung Iboi yang semakin cetek.
Keadaan Sungai Kupang di Kampung Iboi yang semakin cetek.

Jelas Nor Mohamad, sistem perparitan dan keadaan sungai yang cetek kemungkinan menyebabkan lebih banyak rumah dinaiki air minggu lalu.

Hujan lebat berterusan juga menyebabkan kira-kira 1,000 mangsa berpindah ke lima buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka di Daerah Baling akibat rumah dinaiki air.

Media sebelum ini melaporkan, tragedi kepala air 4 Julai 2022 menyebabkan tiga beranak maut apabila 12 buah rumah rosak teruk atau musnah dihanyutkan arus deras manakala 17 buah rumah dilaporkan mengalami kerosakan.

Rumah baharu di Kampung Keda Sadek menempatkan 12 buah keluarga yang terlibat dalam kejadian kepala air, 4 Julai 2022.
Rumah baharu di Kampung Keda Sadek menempatkan 12 buah keluarga yang terlibat dalam kejadian kepala air, 4 Julai 2022.

Kesemua 12 buah keluarga yang berada dalam zon merah telah dipindahkan ke rumah baharu yang dibina kerajaan negeri di Kampung Keda Sadek, di mana penyerahan kunci disempurnakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, pada Jun lalu.

Sementara pembinaan fasa kedua di Kampung Bok Bak membabitkan kos keseluruhan RM3 juta seperti diumumkan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa melakukan kunjungan ke Kampung Iboi selepas tragedi berkenaan, akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya.

Proses pengambilan tanah oleh kerajaan negeri dipercayai membabitkan kos RM600,000 dikatakan telah selesai dilakukan.