Mangsa banjir Iboi tak dapat cuci rumah tiada bekalan air

Sungai Kupang yang cetek akibat hakisan tebing menyebabkan limpahan air banjir mengenai rumah penduduk. Gambar kecil: Malik
Sungai Kupang yang cetek akibat hakisan tebing menyebabkan limpahan air banjir mengenai rumah penduduk. Gambar kecil: Malik
A
A
A

BALING - Banjir kilat di Kampung Iboi menyebabkan lebih 1,000 penduduk yang bergantung harap kepada bekalan air masyarakat yang digunakan sejak kira-kira 40 tahun lalu terganggu.

Pengerusi Bekalan Air Masyarakat Kariah Iboi, Malik Arshad berkata, disebabkan itu, lebih kurang 300 mangsa yang terjejas banjir tidak dapat melakukan kerja-kerja pembersihan biarpun kini memasuki hari ketiga dilanda banjir.

Menurutnya, lebih kurang 500 rumah di Kariah Iboi merangkumi lapan buah kampung menggunakan bekalan air masyarakat sejak 40 tahun lalu, namun separuh daripadanya dilaporkan terjejas banjir kali ini.

"Banyak paip yang rosak dan pecah akibat arus deras sekali gus menyebabkan bekalan air terputus hampir di kesemua rumah penduduk.

"Bekalan air dari Syarikat Air Darul Aman (SADA) tiada, menyebabkan mangsa yang duduk di pusat pemindahan sementara (PPS) tak boleh balik cuci rumah sehingga hari ini," katanya.

Sumber air dari pelbagai cabang melimpah ke rumah penduduk selain air masyarakat turut terjejas berikutan paip rosak dan pecah.
Sumber air dari pelbagai cabang melimpah ke rumah penduduk selain air masyarakat turut terjejas berikutan paip rosak dan pecah.

Dalam pada itu, Malik berkata, kerja-kerja baik pulih bekalan paip yang rosak kini sedang dilakukan ahli yang berkemahiran mengikut kemampuan termasuk di sungai dan atas bukit.

"Ada tanah runtuh yang tertimbus paip, pokok tumbang selain paip pecah termasuk di laluan sungai, kami kena tengok dan baiki di bahagian yang penting dahulu dengan harapan bekalan air dapat disalurkan dengan seberapa segera.

Artikel Berkaitan:

"Kalau nak ikutkan memang tiada dana kerana kutipan hanya RM3 sebulan bagi setiap rumah, jadi kami baiki mana yang utama dahulu sebagai keperluan mendesak dalam sehari dua ini,"katanya.

Jelas Malik, keadaan paip yang usang dan berusia juga menjadi faktor kerosakan berlaku lebih-lebih lagi ketika dilanda banjir serta arus deras.

"Sepatutnya sudah sampai masa paip ini dinaik taraf tetapi disebabkan dana yang kurang, apa boleh buat," ujarnya.

Rumah mangsa terjejas banjir di Kampung Iboi tidak dapat dicuci berikutan ketiadaan bekalan air.
Rumah mangsa terjejas banjir di Kampung Iboi tidak dapat dicuci berikutan ketiadaan bekalan air.

Beliau menjelaskan, kerja-kerja penyambungan paip sedang dilaksanakan dan mengharapkan agar bekalan air masyarakat pulih pada Jumaat sebagai keperluan kepada mangsa banjir.

Banjir yang berlaku pada Rabu menjejaskan rumah penduduk di sekitar Kampung Iboi menyebabkan lebih 300 mangsa dipindahkan ke beberapa buah PPS.

Antara PPS yang masih dibuka sehingga jam 12 tengah hari Jumaat ialah PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Iboi (96 mangsa) Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai (59 mangsa), SK Kampung Keda (126 mangsa) dan Surau Annur (298 mangsa) bagi menempatkan keseluruhan 579 mangsa di seluruh daerah Baling sejak Rabu.