Masalah saraf kaki bukan halangan sambung pengajian

Arisha Maisara menunjukkan kedua-dua belah kalinya yang memakai alat sokongan untuk berdiri ketika mendaftar masuk ke UTM pada Ahad.
Arisha Maisara menunjukkan kedua-dua belah kalinya yang memakai alat sokongan untuk berdiri ketika mendaftar masuk ke UTM pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pergelangan kedua-dua kaki yang lemah sehingga terpaksa bergantung dengan alat sokongan untuk berdiri tidak melunturkan semangat pelajar orang kurang upaya (OKU) untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Arisha Maisara Nasrudden, 20, yang menyambung pengajian dalam bidang Sains Kimia merupakan sebahagian daripada 3,482 pelajar baharu Universti Teknologi Malaysia (UTM) yang mendaftar pada Ahad bagi kemasukan 2023/2024.

Pelajar dari Batu Gajah, Perak itu yang mengalami masalah saraf kaki sejak berusia enam tahun menjelaskan dirinya cukup teruja kerana dapat belajar setanding pelajar yang sempurna seterusnya mengejar impian untuk bergelar penyelidik.

"Pergerakan saya agak terbatas dan tidak boleh berdiri lama. Berdiri selama lima minit pun badan saya rasa terhuyung hayang. Penyakit ini dikesan ketika masih kecil di mana saya kerap terjatuh ketika berjalan.

"Doktor mengesahkan kaki saya mempunyai masalah saraf dan perlu bergantung dengan alat sokongan untuk berdiri. Adik, Alifa Mursyida, 18, turut menghidapi penyakit yang sama." katanya ketika ditemui pada Ahad.

Arisha Maisara yang juga anak kedua daripada tiga beradik bertekad mahu memberikan yang terbaik dalam pelajaran untuk membalas jasa ayah Nasrudden Mydin, 53 yang bekerja sebagai pembantu kedai runcit dan ibu, Razua Rahim, 52, sebagai jururawat.

Shamsul (berdiri; depan, kiri) meninjau pendaftaran pelajar baharu UTM di Kolej Tunku Canselor pada Ahad.
Shamsul (berdiri; depan, kiri) meninjau pendaftaran pelajar baharu UTM di Kolej Tunku Canselor pada Ahad.

"Saya bersyukur kerana UTM banyak membantu termasuk dari segi kemudahan kolej kediaman yang berdekatan dengan tempat belajar dan kemudahan yang lain," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni) UTM, Prof Dr Shamsul Sahibuddin berkata, empat pelajar OKU diterima pada sesi kemasukan kali ini.

Ujarnya, pelajar OKU tersebut bakal mengikuti jurusan Sains dan Teknologi, Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Fakulti Sains dan Fakulti Komputer.

"Pelajar baharu ini terdiri daripada 1,678 lelaki dan 1,804 perempuan di mana kesemua mereka akan mengikuti pengajian meliputi 57 program Sarjana Muda di 12 fakulti di UTM.

"Selain itu, terdapat 137 pelajar antarabangsa daripada hampir 20 negara antaranya Indonesia, China, Yemen, Sudan dan Mesir.

"UTM kali ini telah memulakan persediaan awal bagi menyambut kehadiran pelajar baharu khususnya dalam menyediakan kolej kediaman yang lebih kondusif dan selesa," ulasnya.