Kehadiran polis pada kempen PRK Pelangai hanya rutin biasa

Saifuddin melawat khemah Jualan Rahmah Madani di Kompleks Sukan Bandar Tun Razak di sini pada Ahad. - Foto: SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
Saifuddin melawat khemah Jualan Rahmah Madani di Kompleks Sukan Bandar Tun Razak di sini pada Ahad. - Foto: SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kehadiran luar biasa pihak berkuasa dalam pelbagai aktiviti kempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai adalah sebagai 'omnipresence'.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut memantau keselamatan dan ketenteraman awam.

"PDRM turut memantau tiada individu membangkitkan isu sensitif dan mengapi-apikan semangat sehingga membangkitkan isu perpaduan dan ketenteraman rakyat," katanya ketika sidang akhbar selepas menghadiri program Kementerian Dalam Negeri (KDN) Madani, di Kompleks Sukan Bandar Tun Razak pada Ahad.

Saifuddin berkata, polis bersikap profesional sebagai agensi penguatkuasaan terbesar negara, malah orang ramai tidak perlu risau dengan kehadiran pihak berkuasa.

"Orang ramai tidak perlu bimbang dan perlu patuh pada undang-undang sepanjang tempoh berkempen di DUN Pelangai.

"Paling penting adalah peluang setiap parti mendekati rakyat yang merupakan pengundi di kawasan itu tidak terhalang, tugas polis adalah menjaga keselamatan," katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendakwa kehadiran luar biasa pihak berkuasa dalam pelbagai aktiviti kempen dianjurkan parti itu pada PRK Dewan DUN Pelangai menimbulkan keresahan dalam kalangan penyokongnya.

Takiyuddin dilaporkan berkata, tindakan itu juga boleh memberi gambaran tidak sihat kepada amalan demokrasi negara.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau menggesa agensi kerajaan itu bersikap lebih rasional dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga keamanan dan keselamatan rakyat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari mengundi bagi PRK DUN Pelangai pada 7 Oktober, manakala 3 Oktober sebagai tarikh pengundian awal.

Kerusi itu diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya daripada BN, Datuk Seri Johari Harun yang terlibat dalam nahas pesawat ringan di Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.

PRK DUN Pelangai menyaksikan persaingan tiga penjuru antara calon BN, Datuk Amizar Abu Adam, calon PN, Kasim Samat dan calon bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.