Teresa gesa segerakan buka SPE

Teresa (dua dari kanan) ketika membuat tinjauan di SPE pada Ogos lalu. - Facebook Teresa Kok
Teresa (dua dari kanan) ketika membuat tinjauan di SPE pada Ogos lalu. - Facebook Teresa Kok
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pihak berkuasa lebuh raya digesa agar menyegerakan pembukaan Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) yang melalui kawasan Parlimen Seputeh.

Gesaan itu dibuat Ahli Parlimennya, Teresa Kok ketika ditemui pemberita yang berkumpul bersama penduduk Taman Desa di tepi jalan dalam di sepanjang SPE di sini.

Beliau memaklumkan telah menghadiri mesyuarat dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Jumaat lalu dan dimaklumkan Jalan Loke Yew akan ditutup secara berperingkat mulai Isnin hingga Oktober tahun depan untuk kerja-kerja pembinaan.

“Saya beritahu mereka kalau nak tutup jalan penting, sekurang-kurangnya buka SPE.

"Tetapi mereka menjawab, rancangannya hanya dibuka pada pertengahan November," katanya.

Katanya lagi, pada Ogos lalu beliau turut melawat pelbagai tapak bersama syarikat konsesi projek SPE Lebuhraya Duke Fasa 3 Sdn Bhd, dan kemudiannya menulis surat kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

“Saya beritahu beliau (menteri) bahawa saya dimaklumkan (oleh syarikat konsesi projek) SPE telah siap pada 21 Mei 2023.

“Jadi pada Mei mereka sudah siap, tetapi sehingga hari ini ia tidak dibuka.

Artikel Berkaitan:

“Saya tidak berpuas hati dan bimbang dengan keadaan lalu lintas esok apabila jalan raya (Jalan Loke Yew) ditutup,” tambah Teresa.

Lebuh raya sepanjang 29.8 kilometer menghubungkan Pintu Gerbang Taman Melati dan Klang dari Jalan Lingkaran Tengah Kuala Lumpur 2 (MRR2) ke Kerinchi Link dari utara ke selatan Kuala Lumpur dan merentasi kawasan seperti Universiti Tunku Abdul Rahman, Wangsa Maju, Setiawangsa, Ampang, koridor pembangunan Tun Razak Exchange & Bandar Malaysia, dan Kerinchi.

Pada Jumaat, DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan penutupan jalan dan lencongan lalu lintas akan dilakukan bagi memudahkan pembinaan jambatan di Bulatan Loke Yew, Jalan Sungai Besi menghala ke Sg. Besi/Petaling Jaya.