Jangan remehkan kuasa Agong

Saifuddin
Saifuddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - PKR menyifatkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan tidak memahami asas undang-undang kerana menggelar Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bekas banduan.

Malah, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan Takiyuddin tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong yang telah memberikan pengampunan penuh kepada Anwar pada 16 Mei 2018.

Sehubungan itu, katanya, Anwar layak untuk dicalon dan dilantik sebagai Perdana Menteri sesuai kedudukannya sebagai ahli Parlimen yang telah dipilih secara sah.

“Perkara 42(1) seperti diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan, menunda hukuman dan melegakan hukuman.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar enggan ulas isu jawatan PM

“Segala proses dan prosiding untuk memberikan pengampunan penuh kepada Anwar telah diikuti dan dipatuhi oleh Lembaga Pengampunan Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, kenyataan Takiyuddin itu jelas meremehkan kuasa pengampunan Agong dan satu usaha memperlekeh integriti proses dan prosiding Lembaga Pengampunan.

“Pendirian yang diambil Setiausaha Agung Pas tersebut bercanggah dengan pendirian Pas suatu ketika dahulu yang sentiasa konsisten daripada awal bahawa Anwar tidak bersalah atas tuduhan yang dihadapi dan wujud konspirasi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kemesraan Pas bersama UMNO sebagai rakan politik baharu ternyata mengubah nada dan pendirian parti dalam berdepan isu-isu penting negara termasuk isu pemenjaraan Anwar yang telah dikritik oleh masyarakat perundangan antarabangsa sebagai satu konspirasi politik.