Pemilikan dwi kewarganegaraan perlu diteliti - Shafei Apdal

Mohd Shafei Apdal
Mohd Shafei Apdal
A
A
A

KOTA KINABALU - Isu pemilikan dwi kewarganegaraan perlu diteliti dan diperhalusi kerana terdapat kesan yang melibatkan banyak pihak termasuk kementerian, agensi dan juga kedaulatan negara.

Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, isu pertama melibatkan kesetiaan, di mana dwi kewarganegaraan mungkin tidak akan setia sepenuhnya kepada mana-mana negara.

"Tidak pada negara asal dan juga tidak setia kepada negara baharu yang dipohon atau meletakkan kepentingan lebih kepada satu negara berbanding yang satu lagi.

"Seterusnya mungkin ada insiden di mana dwi kewarganegaraan ini menyebabkan kehilangan kepercayaan kepada kedua-dua negara," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu dwi kewarganegaraan yang dibangkitkan oleh rakyat Malaysia yang berada di Amerika Syarikat semasa program Temu Anwar ketika beliau menghadiri Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), baru-baru ini.

Menurut Ahli Parlimen Semporna itu lagi, isu kesetiaan sangat berkait rapat dengan perlembagaan dan perundangan di dalam negara.

"Bukan sahaja di peringkat Persekutuan, malah di setiap negeri di Malaysia juga mempunyai dan mengamalkan perundangan yang berbeza mengikut kepada undang-undang tubuh kerajaan negeri masing-masing.

"Sebagai contoh, pemilikan ekuiti, aset, hak menjalankan dan pemilikan perniagaan atau sekiranya ada pelanggaran dari segi kes-kes jenayah dan sebagainya, bagaimana pula ia harus di tangani kerana undang-undang di negeri mungkin tidak terpakai lagi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Shafie berkata, isu berkaitan keselamatan juga perlu diteliti kerana dwi kewarganegaraan mungkin menjadi risiko kepada kedua-dua negara.

"Ini kerana mereka bebas memilih untuk mempunyai kesetiaan berbelah bagi kepada kedua-dua negara, kecuali terdapat perakuan atau dokumen perjanjian yang boleh dibawa ke mahkamah untuk diambil tindakan sekiranya melanggar syarat yang ditetapkan jika ada.

"Seterusnya, faktor ketiga adalah isu undang-undang ataupun perundangan bagi negara yang terlibat, lebih-lebih lagi apabila berkaitan pilihan raya dan percukaian.

"Sebagai contoh, ada negara tidak membenarkan pemilik dwi kewarganegaraan untuk mengundi dalam pilihan raya atau memegang apa-apa jawatan politik. Undang-undang percukaian juga mungkin berbeza antara kedua-dua negara berkenaan dan ini akan menimbulkan masalah, seperti negara mana yang patut mengutip cukai dan lain-lain.

"Dalam masa sama akan ada juga masalah dari sudut isu imigresen, kerana pemilik dwi kewarganegaraan mungkin dikecualikan daripada undang-undang imigresen di kedua-dua negara.

"Ini boleh menyebabkan ramai kemasukan orang yang mungkin menjejaskan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Shafie berpendapat visa sementara yang dikeluarkan di kebanyakan negara sudah memadai untuk memberi kebenaran kependudukan sementara bagi menjalankan aktiviti perniagaan kepada golongan professional bekerja dan mencari pendapatan.

"Kedaulatan dan keharmonian negara menjadi tanggungjawab bersama kita semua sebagai rakyat Malaysia," tegasnya.