'Buang brek belakang, guna tayar sotong konon ikut trend'

Tiada brek belakang dan guna tayar sotong antara ubah suai ekstrem yang dikesan JPJ Selangor menerusi Op Khas Motosikal di Plaza Tol PJS, Petaling Jaya pada Rabu. - Foto JPJ Selangor.
Tiada brek belakang dan guna tayar sotong antara ubah suai ekstrem yang dikesan JPJ Selangor menerusi Op Khas Motosikal di Plaza Tol PJS, Petaling Jaya pada Rabu. - Foto JPJ Selangor.
A
A
A

PETALING JAYA - Ubah suai motosikal secara ekstrem tanpa brek belakang dan guna tayar sotong antara yang dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor menerusi Op Khas Motosikal di Plaza Tol PJS, di sini pada Rabu.

Timbalan Pengarah JPJ Selangor, Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, seorang penunggang lelaki berusia 25 tahun ditahan dalam operasi pada jam 5 petang itu.

"Pemeriksaan pada motosikal jenis Yamaha Y15ZR ditunggangnya mendapati banyak kesalahan dikesan, antaranya tiada brek belakang, guna tayar sotong dan tiada cermin sisi," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, soal siasat awal, lelaki itu mendakwa terpengaruh dengan rakan selain media sosial serta mahu mengikut trend semasa kononnya mahu menambah kelajuan.

Katanya, susulan itu, operasi diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasa JPJ Negeri Selangor, Mazlini Yusof telah mengambil tindakan sita ke atas motosikal yang tidak mempunyai cukai jalan itu.

Mengulas lanjut, pada hari sama, JPJ Selangor turut melaksanakan operasi terbabit di beberapa lokasi sekitar negeri itu seawal 8 pagi sehingga kira-kira jam 11.50 malam.

Tambah Ahmad Kamarunzaman, sepanjang operasi itu, pihaknya telah memeriksa 1,506 motosikal dan 951 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Kesalahan yang dikesan antaranya ialah tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, tiada perlindungan insurans dan kesalahan teknikal," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Justeru, JPJ mengingatkan penunggang dan pemilik motosikal supaya mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya.

"Sebarang aduan kesalahan lalulintas, orang awam boleh menyalurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau melalui platform aplikasi e-aduan berserta butiran pengadu dan aduan," jelasnya.