Banjir Kedah: Mangsa meningkat kepada 1,908 orang

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam banjir di Kedah.
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam banjir di Kedah.
A
A
A

ALOR SETAR - Bilangan mangsa banjir di Kedah terus meningkat apabila 1,908 mangsa daripada 576 keluarga dipindahkan ke 15 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di empat daerah di negeri ini setakat jam 8 pagi pada Jumaat.

Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding 1,813 mangsa daripada 530 keluarga yang dilaporkan jam 8 malam pada Khamis.

Menurutnya, dua lagi PPS baharu dibuka di daerah Kota Setar iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah menempatkan 36 mangsa daripada 25 keluarga manakala Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Merah seramai 56 mangsa daripada 18 keluarga.

"PPS SK Seri Gunung menempatkan seramai 117 mangsa daripada 37 keluarga manakala SK Taman Aman 300 mangsa daripada 100 keluarga.

"PPS di SMK Kepala Batas pula seramai 94 mangsa daripada 33 keluarga," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berlkata, di daerah Kubang Pasu pula, tiga PPS masih beroperasi dengan SMK Changlun menunjukkan penurunan apabila hanya 67 mangsa ditempatkan di PPS terbabit.

"PPS SK Malau pula masih menempatkan 132 mangsa daripada 28 keluarga. PPS di Dewan PPK Lubuk Batu pula masih menempatkan seramai 60 mangsa daripada 23 keluarga," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Muhammad Suhaimi berkata, tiga PPS daerah Pokok Sena iaitu di SK Bukit Hijau menempatkan seramai 232 mangsa daripada 63 keluarga manakala PPS Maahad Tarbiyah Derang pula seramai 148 mangsa daripada 40 keluarga.

"PPS di SK Permatang Limau pula masih menempatkan seramai 15 mangsa daripada empat keluarga," katanya.

Muhammad Suhaimi menambah, mangsa banjir di Baling bagaimanapun terus menunjukkan pertambahan di empat PPS yang dibuka.

"PPS SK Iboi menempatkan seramai 103 mangsa daripada 40 keluarga. SMK Jerai pula menempatkan seramai 118 mangsa daripada 37 keluarga manakala PPS di SK Kampung Keda pula seramai 132 mangsa daripada 36 keluarga.

"Selain itu, PPS di Surau An Nur pula merekodkan jumlah mangsa seramai 298 orang daripada 71 keluarga," katanya.